20 July 2004

Ke Arah mana Belia Negara Perlu Di Bentuk?

Bila kerajaan melakukan sesuatu yang agak radikal dalam membentuk remaja dengan Khidmat Negara, implementasinya menjadi tanda soal yang besar. Banyak suara-suara ketidak-fahaman kepada program ini.
 
Persoalannya : Ke arah mana kita perlu bentukkan belia negara kita?

Adakah ke arah "semangat kesatuan perkauman" sahaja seperti yang digembar-gemburkan oleh media (terutama tivi-tiga dengan wawancara dengan peserta?) atau sebenarnya membentuk belia yang berwawasan.

Pada pandangan penulis, belia negara perlu dibentukkan ke arah sesuatu yang mencabar dan mampu membina sesuatu yang terbaik untuk masyarakat tempatan. Kesatuan antara belia perlu dilihat daripada pandangan yang fokus kepada beberapa elemen.

1. Pembangunan Ilmu dan implementasinya

Ini perlu kerana tanpa implementasi Ilmu, kita hanyalah pengikut kepada rentak pembikinan wajah baru dunia oleh barat. Yang kita tahu, lebih kepada sesuatu yang meruntuhkan akhlak dan budaya tempatan. Membunuh fikrah Islami (dibaca pemikiran Islam). Kita lihat dengan peradaban baru yang diterapkan oleh barat hingga benar-benar menghapuskan nilai kesopanan dan kesucian agama Islam.

Budaya barat yang begitu cepat menjalar tanpa kawalan sangat ditakuti merosakkan generasi baru dan melumpuhkan kekuatan bangsa kita. Nanti, kita hanya akan menjadi kadir-kadir barat bila asas kekuatan Ilmu itu jauh daripada hati-hati kita. Media yang terlalu memomokkan budaya barat melalui iklan-iklan juga program-programnya begitu menakutkan. Mungkin sesetengah kita berfikiran itu sesuatu yang baru. Yang perlu kita cabar, tetapi Ilmu untuk mencabar arus ini tidak diterapkan dengan lebih berkesan.

Selepas satu, satu lagi perkara baru muncul yang menakutkan. Dari bohsia-bohjan, black-metal, dadah-dedah, pesta seks, gangsterisma, buli dan entah apa lagi selepas ini.

Ilmu dan penerapannya adalah penting. Sistem pendidikan awal sangat penting di samping penerapan aktiviti sihat belia remaja bagi mengatasi masalah yang sebegini. Kementerian yang dipertanggung-jawabkan kelihatannya hanya memfokuskan hanya kepada sukan! Tidak kelihatan dengan jelas prinsip dan gerak kerja bagi mendekati program-program pembentukan belia yang ilmuan, yang menjana minda bagi menjadikan masyarakat kita sebuah masyarakat yang harmoni tanpa masalah-masalah sosial. Ini suatu yang sangat luas untuk diperkatakan. Budaya kekeluargaan, persekitaran, dan sebagainya perlu diambil kira.

2. Pembangunan Kerohanian
 
Apabila bercerita tentang kerohanian, kita sering melihat ianya berkisar tentang keagamaan. Tentang syurga & neraka. Tentang hukum-hakam. Kadang kita menolak pemakanan dan etika pengurusan diri penting dalam kerohanian. Kebersihan juga penting dalam kerohanian. Kepercayaan yang jitu terhadap prinsip beragama tidak benar-benar diterapkan. Antara dosa dan pahala. Antara dunia kini dan dunia sesudah mati. Penulis beranggapan bahawa ini adalah suatu yang sangat penting. Ketaqwaan kepada Allah (belia Islam) adalah sangat penting. Kita perlu diterapkan bahawa keTaqwaan itu adalah sangat penting. Bahawa sesuatu yang salah, memberi sumbangan negatif dan boleh menarik kepada hujanan bala. Bukan hanya kepada diri sendiri, malah masyarakat keseluruhannya. Penulis bukanlah meminta suatu kelompok belia itu berjubah dan berserban. Berjalan dengan tasbih sambil mulut komat-kamit. Kita perlu faham dengan sebenarnya apakah yang belia kita benar-benar insaf bahawa sesuatu yang dilarang itu "wajib" ditinggalkan. Bahawa tanggung-jawab "wajib" diselesaikan. Itu adalah amanah! Nanti, belia-belia remaja ini insyaAllah akan mampu menjadi pemimpin-pemimpin yang bersih dan dihormati. Bukan pemimpin-pemimpin "korup" yang menjaja diri dan nama dimedia-media.
 
3. Pembangunan Jati Diri
 
Suatu kekuatan bergantung juga kepada kakuatan diri. Sifat ketahanan diri dari menerima tujahan permasalahan. Mampu mengenali diri untuk mengenali bangsa kita. Bahawa kita masih jauh. Masih perlu meningkatkan keupayaan diri dalam perbagai cabang Ilmu. Kenali diri, kenali asal-usul diri kita akan menginsafkan. Apakah bapa kita dari golongan bangsawan? Dan jika benar, apakah tiada golongan bangsawan yang "kehilangan" segala-galanya kerana salah pembawaan diri? Apakah kita dari golongan yang miskin dan hina satu ketika dulu? Dan keberjayaan kita menjadi kita perlu dilupakan? Ramai antara belia remaja masih kabur tentang siapakah diri mereka. Ke manakah arah perjalanan mereka. Dan siapakah asal-usul mereka....Pencarian mereka perlu di isi.
 
4. Pembangunan Sosial
 
Belia Amat jarang kedengaran aktiviti kemasyarakatan dikendalikan oleh golongan belia. Dan amat jarang kelihatan di media (selain berita-berita belia berpusu-pusu ke konsert) aktiviti belia mendapat tempat di mata masyarakat. Kita perlu fokuskan ke arah ini. Kita perlu menyumbangkan tenaga kita dan mungkin wang ringgit kepada pembentukan sosial yang ulung dalam peringkat belia remaja.
 
Kita lihat dan kita sedar bahawa minat belia masa kini bertukar arah. Akibat daripada lonjakan teknologi. Semakin tidak kelihatan remaja dan belia mendekati aktiviti sosial yang berteraskan kepada kebudayaan tradisional. Sudah jarang ada belia mampu membina wau, gasing dan sebagainya. Apatah lagi bermain guli atau konda-kundi. Apakah perlu kita membuat anjakan paradigma dengan menerapkan teknologi dalam permainan kebudayaan tradisional ini? Amat jarang kelihatan golongan muda beramai-ramai bergotong royong melaksanakan aktiviti sebagai contohnya, pembersihan kampung, masjid, dan sebagainya. Jika dahulu, seringkali ada aktiviti yang dikelolakan oleh Belia 4B Malaysia. Kini.... ianya layu. Hampir tidak kelihatan!! Malah laman web Belia 4B Malaysia juga mati!! (http://www.4bmalaysia.com.my). Ini sangat menyedihkan. Satu organisasi belia terbesar, layu tanpa kelihatan wajahnya.
 
5. Pembangunan Ekonomi
 
Kalau dahulu, banyak aktiviti-aktiviti belia menjurus kepada aktiviti ekonomi, kini ianya juga seakan mati. 30 tahun dahulu, terbentuk banyak RTB (rancangan tanah belia), projek pertanian, dan sebagainya atas nama belia. Kini, semuanya hampir layu dan mati. Tidak kelihatan. Ekonomi adalah penting dalam mengumpul dana bagi pembentukan aktiviti sihat lainnya. Ekonomi adalah penting bagi menaikkan taraf pemikiran belia negara. Ekonomi adalah senjata yang kuat bagi meletakkan belia bangsa kita ke satu tahap yang lebih di segani. Bantuan khidmat nasihat dan suntikan modal kepada aktiviti ekonomi ini perlu. Kerajaan melalui kementeriannya seharusnya melihat ini sebagai satu peluang bagi membentuk masyarakat masa depan yang berwawasan.
 
Lima elemen di atas, yang penulis kupas secara ringkas, perlu diteliti dan ditangani di peringkat yang lebih tinggi. Kerana, kini kelihatannya kem-kem bina negara seluruh negara seperti sepi...... Kita tidak mahu belia-belia kita berpusu-pusu ke stadium untuk menonton beliawanisnya berpakaian tidak sopan menyanyikan "we will we will rock you" dengan di taja oleh PEPSI. Dan kita tidak mahu belia dan beliawanis kita berpelesiran, berpelukan di medan-medan awam dengan di taja oleh "Chop!! Coca Cola" seperti yang ditayangkan oleh media televisyen!!!!
 
Itu adalah iklan perosak bangsa dan boleh dibakul sampahkan!! Kerana ianya membentuk sampah!!!!