20 July 2004

Iraq, Dunia Islam dan Malaysia....

Saban hari berita-berita dunia dan tanahair bercerita tentang Iraq, Palestin, Afghanistan dan sebagainya. Berkait tentang keadaan orang-orang Islam yang dianiaya, diburu dan dibunuh bagai binatang perosak..... Daripada pembunuhan beramai-ramai, pemusnahan petempatan, letupan-letupan bom yang ditujukan untuk memusnahkan individu-individu yang menjadi sasaran kepada pencabulan kepada tahanan-tahanan.
 
Tidak cukup tahanan perang Afghanistan, kini terbaru adalah tahanan Iraq!
 
Apakah ini akan berterusan dan ke mana selepas ini? Kenapa ini boleh berlaku? Apakah yang kita lakukan?
 
Persoalan demi persoalan dilayangkan bagai pengadil perlawanan bola melayangkan kad kuning dan kad merah dalam perlawanan bolasepak yang ganas!Satu demi satu negara yang membawa nama dan unsur Islam menjadi mangsa. Bermula dengan Turki di awal abad ke duapuluh, kita melihat beberapa negara menjadi mangsa. Yang kelihatan jelas negara seperti Iran, Iraq, Afghanistan, Bosnia dan Palestin adalah antara yang menjadi liputan besar dan telah menjadi pengetahuan umum. Semuanya disebelah sana dunia. Di "tengah-tengah dunia" jika kita umpamakan di sini sebagai Timur dan Eropah dan Benua Amerika sebagai Barat. Middle world!! Dunia yang sentiasa bergolak. Sejarah memang telah membuktikan. Bukan hanya sejarah yang tertulis oleh ahli-ahli sejarah masa kini, sejarah juga dituliskan di dalam kitab-kitab lama seperti Taurat, Injil.
 
Sejarah tersebut juga tertuliskan di Al-Quran, kitab yang menjadi sandaran kehidupan kita!! Dan sering dalam Al-Quran tertuliskan, "Kepada orang-orang yang berfikir....", "Apakah kamu tidak memikir...", dan banyak lagi yang menyuruh kita memikir dan mempelajari. Sejarah juga sesuatu yang perlu kita pelajari!
 
"Apakah kita memikir?", itu adalah satu persoalan yang kita sendiri tidak mampu menjawab!Kita lihat dalam sejarah, persengketaan membawa padah. Bukan kecil, malah besar yang melibatkan ratusan ribu nyawa, kemusnahan berskala besar, dan masa depan yang gelap. "Apakah yang kita fikirkan?" Bilamana kita melihat perkara tersebut berlaku lagi di depan kita? Kesedaran apakah yang kita dapat melihat peristiwa-peristiwa itu berlaku? Kita masih bertelagah sesama sendiri? Membenarkan diri sendiri, mengIslamkan diri sendiri, walau kenyataannya apa yang dilakukan hari-hari adalah menyimpang dari ajaran Islam itu sendiri? Mengajar anak-anak bahawa Islam melarang mengumpat... tetapi itulah praktik harian!! Fitnah adalah dilarang tetapi itulah senjata harian yang diguna untuk menagih simpati dan mendapat sokongan! Tidak cukup di pentas-pentas yang bertopeng "ceramah agama", ianya juga dirakamkan dan mainkan berulang-ulang dikhalayak, di pasar-pasar malam, di majlis-majlis perkahwinan dan sebagainya. Ini berlaku dan setiap hari ini berlaku!!
 
Dalam kita menyorakkan untuk keamanan sejagat, ada kalangan kita sendiri yang menidakkan usaha kita. Bersekongkol dengan musuh-musuh kita. Menjemput musuh-musuh kita malah musuh bangsa Islam nomor 1 masa kini bagi mengganggu ketenteraman kita. Gah dan bangga bilamana pemimpin negara luar yang terang "menidakkan bangsa Islam sebagai manusia" ini menyokong aktiviti liar di jalanan!! Menjemput untuk membantu mengadili yang kononnya kita tidak telus dalam pemilihan kepimpinan negara!! Perkataan orang-orang kuffar lebih dipercaya dari kata hati sendiri....Ah.... ada-ada sahaja. Memang, antara kita, ramai yang lebih suka kepada yang dilarang! Ramai antara kita yang tidak memikir. Walau bergegar-gegar mengatakan Al-Quran sebagai Perlembagaan!! Kenyataan perlakuan, yang menyimpang dari suruhan dan larangan yang terkandung di dalamnya!
 

0 Comments:

Post a Comment

<< Home