20 July 2004

Belia : Antara Impian dan Realiti

"Program belia patut pupuk budaya cemerlang.
 
SEMUA program pembangunan belia perlu dirancang bagi mencungkil potensi serta memupuk sifat mulia dan budaya kerja cemerlang di kalangan generasi muda."
 
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata ini sejajar dengan hasrat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyuntik budaya baru menerusi slogan ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’.
 
Katanya, slogan itu bukan kata-kata kosong, sebaliknya menetapkan budaya kerja baru yang bertujuan mengubah masyarakat terutama generasi muda supaya menjadi penentu zaman, bukan sekadar penonton semata-mata.
 
“Harapan Perdana Menteri untuk mewujudkan budaya ini adalah sesuatu yang realistik. Yang akan menjadi kayu pengukur pencapaian ini bukanlah bangunan yang tersergam indah, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi atau prasarana yang hebat, tetapi belia yang menjadi generasi pewaris kepemimpinan negara." - bharian online, 14 Mei, 2004.
 
Terasa sejuk bila membaca berita tersebut. Terasa gembira dan seronok yang bukan kepalang. Harapan warga belia seperti saya adalah sangat tinggi agar apa yang tertuliskan akan tercapai dengan sempurna dan membantu ke arah kecemerlangan yang berkekalan. Saya sendiri mempunyai cita-cita yang sama dengan YAB Perdana Menteri dan juga YAB Menteri Besar Selangor.
 
Saya sangat berbangga punya dua orang pemimpin negara dan negeri yang punya pandangan yang sebegini! Lebih-lebih lagi MB kita yang juga dalam usia belia! Menyedari kepentingan sumbangan warga belia ke arah pembangunan yang mantap, kita seharusnya menyokong saranan ini. Apa yang menjadi realiti dewasa ini adalah sesuatu yang sebaliknya. Belia yang bergerak aktif, biasa sahaja dianggapkan menjadi saingan kepada organisasi-organisasi lain seperti organisasi siasah, badan-badan tertentu dan juga kepimpinan masyarakat seperti JKKK dan sebagainya. Persepsi yang negatif kepada warga belia adalah sesuatu yang sangat dikesali. Ini tidak memberi apa-apa manfaat kepada masyarakat keseluruhannya.  Sedang masyarakat yang kecil begini tidak menerima manfaatnya, apatah lagi sebuah negeri dan sebuah negara! Negara terbentuk dari beberapa buah negeri, dan negeri terbentuk daripada beberapa buah daerah dan seterusnya sehinggalah kepada elemen yang terkecil iaitu diri kita.
 
Nah! Organisasi yang terdekat yang melibatkan kemasyarakatan bukankan sebuah kariah atau kampung? Yang bisa sahaja menyumbang kepada kecemerlangan negeri dan negara? Rata-rata warga belia (mengikut pengamatan saya) tidak mendapat sokongan yang sewajarnya daripada pemimpin masyarakat setempat. Dari ketua kampung dan seterusnya. Ini perlu dibenteras. Ini perlu dibuang. Sikap yang sering menganggap organisasi belia menjadi saingan adalah sepatutnya dibuang jauh-jauh.
 
Jika sesuatu tidak diusahakan bagi menangani masalah "kecil" ini, ianya akan menjadi besar. Membengkak dan meletup memusnahkan diri kita sendiri. Impian pemimpin-pemimpin kita ini, cita-cita murni ini, harapan ini hanyalah akan menjadi mimpi. Yang nanti akan dikesali!
 
Saya sangat terhibur bila teringat pada tahun 70an bila Belia 4B sering menjadi satu organisasi yang mempelopori aktiviti-aktiviti yang sihat. Ianya kini hanya menjadi sebagai satu "impian yang sirna". Hanyanya ketika itu, penulis masih terlalu kecil untuk mengenal dengan dalam!
 

0 Comments:

Post a Comment

<< Home