20 July 2004

Selangor : Merealisasikan Cita-cita Masa Hadapan

Dalam kegemilangan pembangunan Selangor dan dalam melangkah ke arah Selangor Negeri Maju menjelang 2005, sesuatu yang penting untuk kesinambungan perkembangan ini tidak harus dipinggirkan.

Inisiatif yang baik dalam pembangunan material dan ekonomi di samping infrastruktur, beberapa yang menjadi tonggak masa hadapan juga perlu dititikberatkan. Beberapa yang penting yang boleh disebutkan adalah pembentukan belia dan remaja yang berwawasan, persekitaran yang kondusif, yang mesra pengunjung. Ini adalah dua fokus tulisan saya hari ini. Kedua-dua ini masih kurang kelihatan. Ini masih perlu dilihat dengan skop yang luas.
 
Dalam kederasan arus pembangunan, dilihat gejala negatif yang melibatkan remaja dan belia semakin menjadi-jadi dan kelihatannya terbiar. Bukan hanya sedikit, malah ianya luas meliputi beberapa perkara hingga mencetuskan jenayah kematian, seks bebas, pelesiran, pelacuran dan sebagainya. Beberapa persoalan ditimbulkan, apakah kerana sistem pendidikan atau sistem pengajaran? Soalan subjektif ini menghasilkan jawaban yang juga subjektif.

Tetapi yang nyata, pendidikan adalah berasal daripada rumah. Ini menjadikan EXCO Belia yang baru dilantik, Datuk Abdul Rahman Palil mungkin menghadapi masalah dalam melakukan satu anjakan paradigma untuk menyediakan satu lapisan belia yang kental dan punya jati-diri yang kuat. Mengharapkan hanya kepada PKN sahaja adalah tidak adil kerana bukan semua remaja yang menjangkau belia diserapkan ke program tersebut dan program ini bukanlah program yang berterusan untuk individu yang terbabit.

Sikap golongan dewasa dalam meletakkan remaja dan belia dalam masyarakat juga menjadi faktor peningkatan gejala negatif ini. Sikap golongan dewasa terutama kepimpinan masyarakat kecil seperti kampung dan desa, kadang sering menjauhkan remaja dan belia dalam aktiviti-aktiviti yang sihat. Analisa jurang (gap analysis) perlu dijalankan bagi melihat dan memahami kenapa ini boleh berlaku. Pemantauan menyeluruh aktiviti belia juga perlu dilakukan di samping sokongan yang berterusan bukan sahaja daripada kepimpinan kampung dan masyarakat kecil, malah juga pihak pentadbiran negeri. Ini kurang kelihatan dewasa ini.

Adanya golongan kepimpinan yang mengenepikan aktiviti belia juga amat sukar untuk diterima. Kemunculan belia kampung membuat sesuatu untuk masyarakat disifatkan sebagai seteru untuk bersaing. Ini adalah suatu contoh yang sangat dikesali dan perlu ditangani.

Penulis percaya fenomena ini berlaku di banyak tempat di Selangor. Ini menjadikan belia bertindak "keluar kampung" dan meninggalkan suasana kampung mereka terus dalam keadaan yang lambat menerima perubahan. Idea belia masa kini yang lebih menjurus kepada perubahan ke arah kebaikan dengan kadar yang segera menjadi satu cabaran kepada golongan dewasa untuk menerimanya.

Penulis percaya, Kerajaan Negeri Selangor dengan kredibiliti yang ada pada Dato' Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo sebagai Menteri Besar dan Datuk Abdul Rahman Palil sebagai EXCO Belia, mampu menangani masalah ini dan mampu membina golongan belia yang berwawasan dan bergerak ke hadapan kearah Selangor yang Gemilang, Cemerlang dan Terbilang. Remaja dan belia negeri adalah tapak untuk mendirikan struktur yang kukuh. Jika tapak ini lemah, jika asas ini goyah, walau apa juga struktur yang dibentukkan di atasnya, akan turut runtuh.

Daripada aspek kedua yang penulis ingin ketengahkan adalah suasana pembangunan yang kurang seimbang dikebanyakan perbandaran baru. Isu lama berkaitan dengan tempat meletak kereta dan keceriaan kawasan masih belum dapat diselesaikan.

Kita lihat tempat-tempat yang bernama besar seperti Cyberjaya, Subang Jaya, Puchong, Kelang dan beberapa lagi. Masalah kesesakan dan tidak kecukupan tempat meletak kenderaan menjadi masalah yang mencacatkan. Walau usaha banyak dilakukan untukmengindahkan kawasan, jika suasana meletak kenderaan masih ditahap lama, ianya mencacatkan pemandangan dan juga emosi pengguna.

Cyberjaya adalah satu tumpuan. Cyberjaya adalah bandar teknologi IT yang dilaung-laungkan. Jika tiga tahun yang lalu, ianya masih boleh disebut sebagai tempat "jin bertendang", kini jalanraya menjadi tempat meletak kenderaan. Terminal bas juga tidak dapat menampung pelanggan yang datang untuk menjamu selera terutama di tengahari.

Adanya operator tempat meletak kenderaan swasta di tempat yang baru dibangunkan tetapi tidak menyediakan sistem yang baik dan servis yang sempurna hanyalah menyakitkan dan mengundang emosi yang negatif. Ini boleh menjadikan suatu tempat ditolak untuk menjadi pusat dagangan yang bagi organisasi yang bertaraf antarabangsa.

Idea untuk menjadikan Selangor sebuah negeri maju menjelang 2005, akan tercacat akibat dua perkara ini.

Kesinambungan pembentukan pembangunan yang dibinakan akan hilang. Kepimpinan yang akan datang, masih banyak boleh dipersoalkan.

Mampukan mereka menangani masa depan yang datang terlalu pantas?
 

0 Comments:

Post a Comment

<< Home