14 April 2005

Memancing & Menonton

Ahad 13 Mac, hari perkahwinan anak sepupu di Wangsa Maju. Harus pergi dan pergilah aku ke sana untuk meraikan perkahwinan anak sepupu aku.

"Gelapnya nko Has! Kerja luar ker?" tanya seorang sepupu aku yang lain.

"A-ah... kerja luar. Kontrak buat bangunan. Orang Indon semua dah balik." jawab aku spontan.

"Kerja kontrak apa.... Kolam pancing saja siang malam." mencelah isteri aku. Aku cuma ketawa.

Memang sejak 30 Januari dulu aku agak sering mengunjungi kolam pancing. Mancing dan menonton orang mancing. Bereksperimen umpan. Berbagai eksperimen yang aku buat. Umpan untuk menjerat patin, rohu, leekoh, pacu, keli, tilapia. Mancing di kolam memang menyeronokkan pada yang memahami istilah "pancingan satu refleksi kehidupan". Ada orang hanya berfikir yang ikan keli kalau nak menaikkan kena guna umpan cengkerik atau cacing. Ikan patin guna roti gardenia. Ikan rohu guna dedak komersial yang dijual. Aku bereksperimen pelbagai. Campuran pelbagai jenis bahan. Dari minyak ikan tuna Seven Seas sampai yis (ragi) pembuat tapai ubi kayu. Dari telur itik hingga hati ayam kisar.

Satu malam, diadakan satu pertandingan satu lawan satu selama satu jam. Battle Of The Rod. Antara aku dan seorang sahabat yang aku namakan di sini Abu. Aku menggunakan joran sebatang. Jenama yang tidak dijumpai lagi di pasaran. Joran yang sudah tersangat lama lebih dari 15 tahun. Joran sepanjang 4.2 kaki sebatang (one piece). Joran pendek, halus yang sudah diubahsuai dengan cecincin tambahan sebanyak 4 biji. Jadi joran pendek 4.2 kaki dengan 9 cecincin semuanya. Joran ini hadiah abang aku yang tertua sepulangnya aku dari Jepun dahulu.

Perambut bersaiz 20 paun dengan dua mata. Mata kail Daiichi bersaiz 6 menjadi kesukaan aku. Mata kecil tetapi kuat. Harga pun dua kali ganda dengan mata kail biasa di pasaran. Mata kail ini aku ikatkan dengan Centauri Knot, satu ikatan mudah dan biasa aku gunakan untuk pancingan ikan air tawar. Tali utama 8 paun. Aku jarakkan mata dalam jarak satu inci. Panjang perambut hanya 4 inci sahaja. Tiada batu. Pada hujung tali utama aku ikatkan satu kili-kili berpin untuk aku menyangkutkan perambut pada tali utama. Abu menggunakan perambut rambai dengan lima mata kail. Perambut komersial berwarna merah. Joran Abu Garcia lima kaki "medium low action".

Umpan yang aku sediakan hanya gaulan dedak dinding dengan dedak ikan bilis dengan nisbah 50-50 dan aku gaulkan dengan hati ayam yang aku kisar. Aku kisarkan seperti membuat doh. Sehingga melekit-lekit seperti plastisin.

Battle Of The Rod bermula tepat jam 12 tengahmalam sehingga jam 1 pagi.

"Malam ini aku naikkan patin buah." kata aku sebelum turun ke lokasi. Sudah ditetapkan lokasinya adalah Villa-9 di Fifofo. Aku turun hanya membawa sedikit umpan yang aku buat. Hanya mungkin cukup untuk 5 - 6 lontaran. Mancing hanya satu jam, tidak perlu membuat umpan yang banyak.

Abu ghairah dan bersemangat. Dia terlalu yakin dengan umpan "dedak istimewa"nya yang didapati dari seorang kawan di Thailand. Battle Of The Rod ini memang aku cabarkan untuknya yang sering sahaja mencabar aku menaikkan ikan dengan banyak dan besar. Cabarannya aku sambut secara gurauan sehari sebelumnya. Battle Of The Rod.

Aku mengikat joran dengan tali khas yang memang aku buat untuk mengikat joran. Ini amat penting sebab kita di darat, ikan di dalam air. Kita tidak akan tahu ikan sebesar mana yang akan meragut umpan kail kita. Dan rentapan ikan kadang terlalu deras dan ganas. Boleh terjun joran jika tidak dijaga dengan sempurna. Aku membuat balingan umpan yang pertama. Jauh ke tengah kolam di dekat dengan kumpulan keladi bunting di tengah-tengah kolam kira-kira 6 - 6 kaki. Aku tahu dibawah kumpulan keladi bunting yang terkepung ini terdapat batu besar. Menjadi temnpat permainan ikan-ikan terutama ikan bersaiz besar. Ikan patin dan keli suka juga memakan gelembung-gelembung akar keladi bunting. Aku tekatkan plastisin kecil pada tali utama di hujung joran aku. Sebagai "radar" penanda umpan di makan atau dimainkan ikan. Jika plastisin ini ternaik-naik, itu pertanda ikan sedang mengusik-usik umpan. Jika ternaik lurus, itu petanda ikan sedang memakan umpna dan rentapan perlu dibuat sebelum ikan memuntahkan kembali bila didapati ada mata kail.

Kemudiannya aku letakkan joran pada besi khas untuk meletakkan joran dengan hujung joran rendah sedikit dari bahagian belakangnya. Aku menanti umpan disambar ikan. Abu juga. Sesekali kedengaran jeritan dan pekikan kawan-kawan yang mengetahui tentang Battle Of The Rod ini.

"Wei.... Battle Of The Rod, yang kalah jadi Presiden Kelab Pemancing Majal....." kedengaran satu jeritan.

"Wei... diamlah korang. Kalau berani turunlah bawak joran." Abu membalas jeritan. Kelab Pemancing Majal, satu jolokan untuk kumpulan pemancing-pemancing yang tidak dapat menaikkan apa-apa ikan selepas sesi memancing!!!!

Masa berlalu. Aku termenung, Abu juga termenung. Lama juga termenung. Sesekali aku menarik joran dan menukar umpan. Abu juga melakukan yang saya.

"Eh... dah sentuh dia!" aku bersuara bila melihat radar di joran Abu naik-naik dimainkan ikan. Tidak lama kemudian tali joran Abu lurus dan dia yang memang telah bersedia merentap jorannya. Joran melentur. Tersenyum kesukaan dan melaungkan ke atas di mana kumpulan pemerhati sedang menonton di dekat ruang pejabat kolam.

"Tangguk.... tangguk......" jerit Abu cuba mendapatkan perhatian. Sesekali dia mengurangkan drag pada mesinnya supaya tali meluncur keluar semula seolah-olah ikan yang menariknya ikan besar. Lama dia bermain-main akhirnya ikan leekoh sebesar hampir satu kilogram dinaikkan.

Aku masih termenung. Joran aku sepi. Masa berlalu dan hampir sepuluh minit lagi masa akan tamat. Abu sudah menaikkan dua ekor leekoh. Seekor lekoh biasa dan seekor leekoh bunga berwarna kuning keemasan. Terdengaran suara-suara yang menyebut Presiden Baru, Kelab Majal, Presiden Eksekutif dan berbagai-bagai lagi yang ditujukan pada aku.

Tiba-tiba tali joran aku tersentap kuat. Radar melantun-lantun dan tali kendur semula. Tak berapa saat kemudian, ia lurus lagi dan joran aku melambung ke kolam. Aku segera melompat mendapatkan tali pengikat dan mendapatkan joran aku. Mula menarik dan memusingkan mesin. Sesekali mengetatkan drag dan melonggarkan supaya tali tidak putus. Sesekali membiarkan ikan peluncur pergi dan melepaskan tali. Aku tahu ikan ini besar. Dari lengguk tarikannya, aku tahu ikan ini bukan rohu dan bukan juga pacu. Ianya menyentap-nyentap beberapa kali. Joran aku melentuk seperti membentuk huruf "U". Joran ini tahan lasak. Jarang tewas. Dulu, pernah aku gunakan mancing di laut untuk menangkap ikan selar dengan apollo. Seharang aku khaskan untuk pancingan kolam pancing komersial.

Ikan semakin menghampir. Tangguk tidak aku bawa. Ikan saiz besar. Sesekali kelihatan kelibatnya. Ali yang nampak cara tarikan ikan yang mengena joran aku berlari membawa tangguk sambil menjerit "Tunggu-tunggu. Tangguk datang....." Aku senyum. Tangguk dengan jaring berwarna hijau dan berbingkai aluminum sampai. Ali menghulurkan tangguk dan aku menggulung tali lagi dengan menarik ikan menghampiri tangguk. Sesekali bila semakin dekat dengan tebing, ikan ini menghenjut lebih kuat ke tengah dan aku terpaksa melepaskan tali lagi. Membiarkan tali meluncur keluar lagi untuk aku tarik dan gulung lagi.

"Habis... Masa dah tamat!" jerit Abu. Aku tidak peduli. Aku teruskan dengan usaha aku menaikkan ikan ini yang akhirnya ianga memasuki tangguk dan dinaikkan ke darat. Aku segera mengambil telefon bimnbit aku. Aku belum dengar bunyi alarm yang aku set tepat pada 1:00 pagi.

"Wei Abu, pukul 12:58!!" kata aku. Ali menghampiri aku dan mencapai tangan aku seraya mengangkatnya.

"Abang Has Juara!!!! Dengan ini Presiden Eksekutif Kelab Majal adalah En Abu!!!!" sambil menuding kepada Abu.

Pertarungan satu lawan satu yang hebat. Hanya satu jam. Seekor patin buah seberat 3.4 kilogram menjadi juara. Dan patin ini telah menjanjikan aku Kopi Tongkat Ali di Kolam Fifofo selama seminggu atas akaun Abu!!

2 Comments:

At 4:20 PM, Anonymous Anonymous said...

seronok gak dgar citer ni...
Hmm...pengalaman yg btul2 hebat utk sentiasa di ingati...

 
At 1:18 AM, Anonymous Anonymous said...

Slain dadak dinding?bole ke yg dadak len2.. kwsan kmi dadak ne paya nk dpt.. ada umpan len ka?

 

Post a Comment

<< Home