24 November 2004

Diari 'Idul Fitri (2)

Sabtu 30 Ramadan adalah hari terakhir berpuasa Ramadan tahun ini. Anak aku yang sulung riang menamatkan buat tahun ketiganya penuh satu bulan tanpa rehat. Anak yang kedua tahun ini tertinggal 6 hari. Seri dengan bondanya!!
Awal pagi, aku sudah ke pasar Teluk Intan. Memang tugas aku sekali dalam dua tahun. Mencari apa yang patut. Petang sebelumnya ke Teluk Intan juga. Membelikan pakaian yang sesuai untuk anak-anak beraya. Aku juga membeli beberapa pasang seluar. Yang sesuai untuk berjalan juga untuk ke pejabat. Seluar dwi-fungsi!!
Di pasar, sayur-sayuran menjadi target aku. Untuk sayur lodeh, aku perlukan pucuk, suhun, kacang panjang, kobis, taugeh, tauhu, tempe, cili, santan dan sebagai penambah kesedapan, aku beli juga petai. Lain-lain barang dapur seperti bawang halia dan sebagainya juga aku beli. Tidak lupa juga membeli beberapa ekor ayam kerana ada yang tidak makan ayam yang bakal aku sembelih nanti.
Sampai di rumah, pak mertua aku sudah bersedia mengurung dua ekor ayam kalkun (dibaca juga ayam belanda) dan 3 ekor ayam kampung. Itu juga tugas aku untuk menyembelihnya.
Aku pun sembelih - tunggu mati - masukkan dalam air panas - buang bulu - keluarkan isi - potong mengikut saiz yang sesuai. Yang lain membantu.
Ayam kalkun memang tidak mendapat sambutan ipar-ipar aku tetapi menjadi kesukaan tetamu-tetamu yang berkunjung sebagaimana beberapa tahun yang lalu. Isinya yang pejal lebih enak daripada ayam kampung biasa dan juga ayam daging. Aku sendiri sudah beberapa lama tidak merasa ayam daging!!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home