07 February 2005

Netherlands oh Netherlands (3) - Selesai Suatu Misi

"Sudah mahu pulang En Has?" tanya pekerja hotel di kaunter pendaftaran.

"Ya.... Misi saya sudah selesai." jawab saya. Rasa seperti di negara sendiri. Mungkin kerana aku yang suka menegur dan berbual.... Hingga sarapan pagi, aku diiringi ke meja yang aku duduki setiap pagi. Makanan yang sama. "Seperti biasa?" tanya pembantu di restoran hotel itu. Aku katakan "Ya, terima kasih." dan seteko kopi, tiga keping roti tiga rasa, telur scramble dan segelas jus oren. Mata-mata di meja-meja lain memerhati aku. Mungkin dalam hati mereka berkata "Siapalah "orang Asia" yang mendapat layanan lain dari yang lain ini!!".

Kelmarin, misi aku selesai. Aku sampai di hotel agak awal. Aku kira pada mulanya aku akan berada di sini selama dua minggu setidak-tidaknya. Rupanya hari ketiga sudah selesai semuanya! Dan kelmarin, hanya bincang perniagaan dan beberapa perkara yang aku dapat sampaikan. Jadinya aku ada kelapangan. Tidak seperti hari-hari sebelumnya yang aku pulang lewat malam setiap hari. Melayani jemputan "bincang malam" terus daripada pejabat di hadapan longgokan makanan. Hingga 22 jenis juadah di hadapan dua orang yang sebenarnya tidak memperdulikan makanan. Hanya fokus kepada perbincangan tentang kerja. Tentang teknologi. Tentang keselamatan dalaman sistem. Tentang kawalan proses. Tidak sampai 10% makanan yang terhidang terusik!!

Kelmarin aku punya masa untuk bersiar-siar dalam suhu 5 darjah selsius. Bila aku tanyakan kepada pelayan di kaunter hotel ke mana aku boleh bersiar-siar, dengan segera jawabannya "Nanti saya temankan. Saya hampir habis kerja En Has!". Tapi aku segera menolak pelawaan wanita comel ini. Dia yang pernah ke Kuala Lumpur seolah-olah ingin membalas kesopanan orang Malaysia yang dulu dia temui. Katanya dia cukup seronok ke Malaysia dan punya keluarga angkat Melayu di Cheras. Aku menolak kerana aku ingin melihat Nijmegen (dibaca Naitmek mengikut bunyi yang aku dengar) dengan cara aku sambil melepaskan beberapa petikan kamera. Ini untuk anak-anak aku yang mengingatkan aku supaya membawa kamera. Cukup rasanya beberapa jam aku berjalan-jalan. Dan malang, kamera digital aku tidak berapa bagus untuk tangkapan gambar waktu malam.

Pulang ke hotel kembali kira-kira jam 8:00 malam. Sudah ada yang menanti di hotel. Tiada janji tetapi Eric de Bruijn menanti aku dengan seseorang. Dia kenalkan kepadaku sebagai pengarah syarikat yang aku lawati. Dan malam kelmarin, sekali lagi bincang malam di restoran oriental di tepian sungai. Hingga agak lewat! Tawaran untuk aku bekerja di sini! Tapi aku harus menolak. Dalam usia 39 tahun ini, orang kata masih muda. Tapi aku punya cita-cita untuk bersara dalam usia 45 tahun. Hanya ada 6 tahun lagi. Dan projek-projek persendirian di tanahair, aku tidak boleh tinggalkan begitu sahaja demi untuk mengajar mereka implementasi ilmu yang aku adaptasikan selama ini.

Jam 12:00 tengah malam baru aku boleh menulis lapuran aku yang lengkap. Sepanjang 3 1/2 hari bekerja di sini, 2 MoU aku tandatangani. Misiku selesai! Misiku tercapai! Masalah sudah bukan menjadi masalah lagi. Perniagaan syarikat boleh berkembang. Dan mungkin aku boleh ke sini satu hari nanti, sesekali ke pejabat aku sendiri!

Yang penting, aku ingin segera pulang. Tangisan anak kembarku ketika aku menelefon hari sebelumnya masih terngiang-ngiang. Meminta aku segera pulang. Rindu pelukan ayahnya agaknya...... Atau rindu susu buatan ayahnya!! Atau rindu untuk dimandikan ayahnya......

Dan lagi, aku risaukan Kolam Pancing Fifofo. Dihari pembukaannya, sudah aku tinggalkan. Apakah mereka yang aku amanahkan untuk mentadbirnya mampu melakukan tugasan? Walau aku percaya yang mereka yang aku latih dalam pentadbiran dan latih untuk berlaku kritikal selama dua tahun sudah mampu, tapi aku masih juga risau. Takut mereka tidak mampu melawan arus yang sering mengganggu. Apatah lagi projek kolam pancing ini adalah permulaan kepada projek-projek belia yang bakal mendatang. Dan dengki manusia tidak dapat dielakkan!!!!

4 Feb, 2005
Dalam keretapi InterCity dari Nijmegen ke Amsterdam
0835 pagi

www.geocities.com/bekalimas/fifofo.html - web site ini masih belum diupdatekan lagi! manalah webmasternya......

0 Comments:

Post a Comment

<< Home