07 February 2005

Netherlands oh Netherlands (2) - Gelombang Apa Ini?

Ah… Aku betul-betul keletihan. Mesyuarat hari pertama aku bermula jam 2:00 petang. Kerana hampir sesat, aku sampai dihotel jam 10:00 pagi. Disambut dengan ramah tamah oleh penyambut pelanggan. Agak mengkagumkan. Senyuman mesra tidak pernah lekang. Jauh bezanya dengan kebanyakan negara barat yang lain. Lebih-lebih lagi ameriki yang langsung tidak begitu mesra dengan aku dulu-dulu. Kemesraan penyambut tetamu di hotel ini agak mengkagumkan. Hampir serupa dengan di Jepung!! Aku rasa lega. Cuma kelegaan aku luntur sedikit dengan keadaan bilik hotel. Aku kira ianya tidak berbintang! Dengan EURO hampir 100 (itu sudah RM 500), keadaan biliknya tidak boleh menandingi hotel 3 bintang di Malaysia!! Dan sarapan pagi hanya roti dan telur scramble yang aku boleh makan pun mencecah RM 80!!

Dari tingkap, kelihatan beratus-ratus basikal beratur di stesen keretapi Nijmegen. Dan aku mula terbayang setesen keretapi Minami Yono di Saitama. Teksi yang berlegar di setesen keretapi juga mengingatkan aku kepada kehidupan di Jepung hampir 16 tahun yang lalu. Teksi-teksi yang berlegar disetiap setesen keretapi seperti setesen Kita Urawa. Hanya manusianya yang berbeza bangsa. Keramahan dan kemesraannya hampir sama. Layanan kepada pelanggan juga hampir sama tidak kira kedai, restoran atau hotel.

Hari pertama berlalu. Mesyuarat yang berbuah baik! Perbincangan teknikal yang mungkin menghasilkan keutuhan hubungan perniagaan dari saat ini. Keputusan di tangan aku. Dan aku sukakan suasana di sini!

Hari kedua aku akan ke produksi mereka. Sedikit perbincangan teknikal agar mereka faham apa yang aku inginkan. Rupanya semua sudah diatur baik. Ke satu proses, aku disambut dengan salam.

“Assalamualaykom En Has!” seorang berpakaian jump-suit untuk clean room menghulur tangan.

“Saya Umran akan bawa En Has untuk proses die attach.” Katanya lagi dalam bahasa Inggeris yang tersekat-sekat. Aku agak terkejut. Bila aku tanya dari mana, segera menjawab dari Turki. Sudah 30 tahun di Belanda. Lalu aku mengikutinya memulakan persediaan untuk “engineering build” yang aku rancangkan. Pantas dan cepat melakukan persediaan. Daripada set-up mekanikal kepada membuat program untuk “device” aku. Tapi aku tertanya-tanya ketepatan yang dilakukan dalam hati. Tapi aku sedar, tentu dia tidak mampu menjawab kalau aku tanyakan kepadanya. Biar aku tanyakan kepada managernya nanti.

Dari satu proses ke satu proses aku habiskan bersama mereka. Dan yang mengejutkan, rupanya ramai yang memberi salam kepada aku. Bukan hanya Turki, Moroko, Lebanon, malah orang Belanda juga ada yang memberi salam kepada aku. Menukar agama dari Katolik ke Islam tiga tahun lepas. Dua tahun lepas, empat tahun lepas!! Fuh…. Benar-benar mengasyikkan!! Nama Roy menjadi Naquib. Nama Schnider menjadi Abdul Rahman. Nama Oudhenhoven menjadi Abdul Salam!! Mungkin ini hasil dari 911?

Walau hari yang begitu pendek di musim dingin ini, ianya menjadi panjang bagi aku. Walau sudah gelam pada jam 5:00 petang, aku masih di bilik pejabat di Wijchen. Sebuah bilik yang pada mulanya bukan untuk aku, selepas perbincangan teknikal, segala kemudahan bilik itu adalah untuk aku bagi tempun seminggu ini. Siap dengan ti-vi, mini bar, set sofa, dan kemudahan lain. Sebuah bilik pejabat yang menyamai bilik pejabat CEO mereka!! Aku mula merasakan inilah “value” kepada kepakaran teknikal dalam industri yang memerlukan “k” sebagai asas sebagaimana “k” dalam k-economy yang digembar-gemburkan.

Kesibukan aku mula ketara apabila masing-masing mula berebut mempelawa aku untuk makan malam @ bincang malam. Dan dalam perlawanan ini, tentunya yang berpangkat besar akan memenangi pertandingan. Yang berpangkat kecil akan menarik diri. Hampir sama dengan pertandingan “kempen politik parti” di Malaysia!! Dan biasanya “bincang malam” berempat mata dengan pengurusan kanan sambil menghadapi hidangan makan akan membuahkan hasil yang lebih baik!!

Untuk ini, aku tidak perlu “merasuah” dengan sesuatu. Cukup dengan keikhlasan memberi tunjuk jalan untuk mereka melakukan sesuatu dengan lebih baik. Dengan penerangan teknikal yang berkesan!! Aku juga akan dapat manfaat dari sesuatu yang baik yang mereka keluarkan.

Di hari ketiga, misi aku sudah selesai! Masalah teknikal yang tertangguh oleh mereka selama satu setengah bulan, tiga hari dapat diselesaikan. Cicit kepada bangsa yang pernah mereka jajah dahulu menyelesaikan masalah mereka dalam tempuh tidak sampai satu hari!! Kalau hari pertama terpaksa bertungkus-lumus ke pejabat mereka mencari arah bersama pemandu teksi, di hari kedua dan ketiga dan seterusnya, berjemput dan berhantar pulang……..

Cumanya kita yang tidak sedar akan kebolehan kita. Makanya sebab itulah selamanya kita akan terjajah!! Selagi kita tidak percaya kepada kebolehan diri sendiri…….


Nijmegen, Netherlands
0759am, 03022005 - anak-anak aku tentu menanti aku di hari kelahiran aku ini......

Jom hujung minggu ni kita pi mancing di
Kolam Pancing Fifofo....

0 Comments:

Post a Comment

<< Home