15 April 2005

Perjalanan Ke Mentari Terbit (1)

Sekali Bah, Sekali Pantai Berubah..... Satu "cause & effect". Begitu juga dalam memancing. Begitu juga dengan kehidupan kita.....

Seminggu aku tinggalkan negara. 1 April, aku terbang ke Japung (Sebutan Jepun bagi lidah orang Jepun di dalam Bahasa Melayu). Negeri matahari terbit ini entah berapa kali sudah aku kunjungi. Awal pagi 2 April, 2005, dalam kesejukan sudah ada yang menanti di Narita. Dan segeralah berangkat ke sebuah hotel di Tokyo. Kali terakhir aku jejaki negara ini pada tahun 2000. 3 kali dalam masa 2 minggu. Hanya pergi, mesyuarat dan balik hari yang sama. Hehehehehe....

Kali ini aku dengan aku yang berbeza. Kalau dulu sebagai seorang pelajar, seorang pekerja syarikat atas urusan business, kini sebagai yang lain pula. Mewakili negara dalam teknologi. Maka layanan juga berbeza. Cuma Japung yang aku nampak hari ini, masih Japung yang sama. Masih Japung 20 tahun dulu, waktu aku mula-mula menjejaki buat kali pertama.

"Has-san, hari ini akan ada taklimat pada jam 2.00." kata seorang Jepun melalui seorang penterjemah.

"Hait! Wakarimashita" (Ya, saya tahu...) balas aku dalam bahasa Japung. Terbeliak mata Japung itu. Tidak tahu dia yang selama ini aku tahu berbahasa meraka.

"Ara.... Has-san, Nihonggo syaberemasuka?" (Ala.... En Has boleh berbahasa Japung ke?) terpacul keluar soalan secara sepontan. Aku jawabkan ya. Tahu berbahasa Japung seperti bahasa ketiga.... Dan dia terpinga-pinga. Beberapa kali bertemu di Malaysia, langsung dia tidak pernah tahu yang aku berbahasa Japung. Sengaja aku sembunyikan dan kerana dia tidak pernah bertanya.

Makan tengahari, kami seramai 6 orang dibawa ke satu tempat untuk makan tengahari. Beberapa orang beratur di luar sebuah restoran. Menanti meja makan. Dalam kedinginan awal musim bunga. Kami masuk ke dalam dengan diiringi ucapan "Irasshiaimase" yang bermaksud Selamat Datang. Tuan punya restoran gopoh-gapah datang dan merendahkan badannya. Duduk di lantai sebagaimana kita duduk antara dua sujud. Menyambut kami dengan penuh hormat. Aku membalas hormatnya dengan membongkokkan badan aku. Kelihatan wajahnya berseri-seri. Satu kebanggaan kepadanya. Satu kebanggaan apabila restorannya dikunjungi oleh satu deligasi "erai" (orang penting) sebuah negara. Sudah ada tempat khas untuk kami. Membuka kasut, dan naik ke satu lantai yang ditinggikan. Ada dua meja rendah yang bersambung. Aku masuk dan duduk bersila di atas sebuah bantal. Yang lain mengikut gerak laku aku. Memerhatikan aku melakukannya dahulu sebelum ikut melakukan. Aku jadi seperti contoh. Maklum, hanya aku yang pernah berinteraksi dengan budaya Japung.

"Ini kira high class restoran Jepun. Makanannya tak risau, semua boleh makan." kata aku kepada ahli deligasi dari Malaysia.

Makanan dihidangkan dan kami mula menghadapi hidangan Japung yang dimasak ringkas. Bakar, rebus dan celur. Belum ada lagi yang mentah-mentah untuk makan tengahari ini. Beberapa jenis ikan bakar dihidangkan. Setengahnya aku tidak pernah temui dulu. Ini memang istimewa. Setelah makanan dihidangkan, tuan restoran menerangkan apakah makanan tersebut dan bagaimana memakannya. Akuhanya mendengar kerana ada seorang jurubahasa menterjemahkan dalam bahasa Inggeris.

Selesai makan, kami di bawa turun untuk pulang ke hotel. Di bawah, dua kereta sudah menunggu. Kekenyangan. Masuk ke kereta untuk pulang ke hotel dan nanti petangnya, mesyuarat pertama akan bermula......


2 April, 2005
Villa Fontaine Shiodome, Tokyo

0 Comments:

Post a Comment

<< Home