23 August 2005

Santai d'Fifofo

"Balik cepat ye!!" bersuara seorang isteri ketika aku hendak kembali ke pejabat selepas makan tengahari di rumah sempena cuti persekolahan ini.

"Nak singgah kolam dulu. Bagi makan anak ikan." jawab aku.

"Nak ikut. Nak kemaskan dapur tuh. Berselerak!!" jawabnya. Aku senyum. Aku teringat tukang masak yang berhenti kerja mendadak. Tidak sempat mengemaskan dapur d' Fifofo. Sudah empat hari pemancing bertanya, "mana sup tulang?". Sup tulang yang menjadi kesukaan ramai sudah tidak ada di Fifofo sejak empat hari yang lalu. Aku sedang sibuk mencari tukang masak lain menggantikan Sher yang berhenti mendadak.

Lega rasa bila isteri aku menawarkan tenaga membantu. Dulu dia agak curiga dengan aktiviti aku, sekarang dia seronok bila hasilnya sudah berbuah. Setiap tiga bulan menerima saguhati bonus pelaburan projek ini. Dan pelaburan pun aku yang sponsor sepenuhnya!!


Sampai di Fifofo, sahabat-sahabat sudah menanti.

"Dato', rohu mengganas!!" kata salah seorang yang membahasakan diriku dengan Dato'. Aku bersalaman. Hari ini aku seronok melihat pemancing berjuang menaikkan labeo rohita. Memerhati dari pangkin di atas, kelihatan PICC (Putrajaya International Convension Center) tersergam indah. Di keliling kolam utama Fifofo, lebih dua puluh orang pemancing sedang menanti umpan di sambar samada Clarias Macrocephalus(rohu), pangasius pangasius (patin), colossoma macropomum (pacu), leptobarbus hoevenii (jelawat), cyprinus carpio (leekoh), hemibagrus nemurus (baung), channa striata (haruan) dan sebagainya.

Bertanyakan pada seorang sahabat, bagaimana perancangan pertandingan memancing September nanti... Aku memberikan beberapa tip dan arahan.

Isteriku sibuk mengemaskan dapur restoran Santai d' Fifofo. Aku mengambil dedak dinding 920B, sedikit aku rendamkan untuk hidangan anak-anak clarias macrocephalus (keli) seramai 10,000 ekor, selebihnya aku biarkan kering untuk lebih 5,000 ekor anak-anak oreochromis mossambicus (tilapia) yang telah dikawal genetiknya agar cepat membesar, 10,000 anak-anak labeo rohita dan 10,000 anak-anak cyprinus carpio.

Aku leka melihat ribuan anak-anak ikan ini berebut-rebut dedak yang terapung!!!! Anak-anakku juga anak-anak lain yang ada di Fifofo ketika itu juga kesukaan melihat anak-anak ikan ini berebut-rebutan makanan.

Dalam begitu, kepala aku ligat berfikir tentang Pertandingan Memancing d'Fifofo, 25 September nanti.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home