06 September 2005

Tik-tok-tik-tok..... Masa Tidak Pernah Berhenti

Masa terlalu cepat berlalu. Tik-tok-tik-tok jam di dinding, jam di tangan kiriku, jam loceng di setiap bilik di rumahku, jam di notebook MIMOSku, jam di telerak Nokiaku, jam di pemain di-vi-diku, jam di dekoder astroku semuanya tidak berhenti dan terus-terusan berjalan sedetik demi sedetik. Pejam celik pejam celik, hari berganti hari, minggu berganti minggu dan tahun berganti tahun. Yang sibuk dengan kesibukannya. Yang santai, santai saban hari. Yang beringat, melakukan yang terbaik untuk masa depannya. Yang terlupa, akan sentiasa berhibur dan berpoya!!

Tanpa sedar, sudah tujuh bulan lebih Kolam Pancing Fifofo dibuka kepada awam. Sambutannya sangat tidak aku duga. Terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Petang selesai kerja, rutin aku singgah di Kolam Fifofo. Beberapa pemancing tegar sedang memancing. Saban hari. 3 orang bangsa Cina yang menjadi pemancing tetap setiap petang seselesai tugas di Putrajaya akan di situ.

"Aku dapat tarik sekor pun dah puas hati. Aku nak mancing, bukan nak ikan sangat. Ikan aku dapat suma bagi kat dia." kata seorang yang sangat aku kenali dengan petah Bahasa Melayu yang sangat baik. Percakapannya bagai orang Melayu. Intonasi dan lenggok bahasanya bagai orang Melayu. Seorang pemancing tegar yang punya syarikat besar membina Alamanda Putrajaya.

"Lawrence, minum dulu. Aku belanja." kata aku bila dia sedang berkemas-kemas untuk pulang. Tiga ekor rohu dibiarkan untuk Lim bawa pulang.

"Lain kali lah Has. Rumah aku jauh. Nanti balik lambat bini aku marah!!" jawabnya.

Seorang lagi pemancing naik dari kolam pancing utama Fifofo. Membawa bersamanya 9 ekor Labeo Rohita (rohu). Juga pemancing tegar dari bukit canggang. Pernah sekali berkongsi ilmu dengan aku. Cara-cara menyediakan "killer dedak" untuk menangkap rohu. Sebotol pewarna berperisa kuning telur, sepeket dedak ayam, sedikit tepung gandum dan sepeket kerisik kelapa. Campuran killer, katanya.

"Wak, dah ambik borang tuh?" tanya aku.

"Dah..... hari tuh lagi dah ambik." jawab dia.

"Cepat daftar Wak, nanti tak sempat..... Limit pemancing cuma 350 orang saja." kata aku. Ikut perkiraan ukur lilit kolam, memang Fifofo boleh memuatkan dalam 500 orang pemancing dalam satu-satu masa. Tapi aku dapat rasakan kesempitannya jika dipenuhkan 500 orang pemancing. Jadi, limit 350 orang untuk pertandingan rasanya sudah memadai.

Sibuk melihat persediaan, aku tanyakan banyak soalan pada yang menguruskan samada apa yang aku rancangkan sudah dilakukan. Tukang masak sudah bersedia. Tukang masak yang baru sampai sudah aku uji kehandalannya. Boleh tahan. Yang ini, bihun gorengnya menjadi kesukaan ramai.

Banner dan banting sudah sedia untuk di rentang dan digantung. Borang-borang pendaftaran sudah beredar... Poster sudah dilekatkan di kedai-kedai peralatan pancing. Hujung minggu ini, ada pertandingan memancing di Putrajaya dan minggu berikutnya di Cyberjaya. Itu medium yang baik untuk menyebarkan iklan dan brocure Pertandingan Memancing d'Fifofo. Aku masih menunggu jawaban dari EXCO Pembangunan Belia Selangor dan artikel di Joran, sisipan Berita Harian Jumaat tentang kolam pancing Fifofo. Pengarangnya sudah berjanji untuk dikeluarkan Jumaat minggu ini.

"Ini pertandingan pertama Belia 4B nak buat Kamal. Nanti kalau dah established, barulah kita buat yang besar. RM 2,000 hadiah pertama tuh kira OKlah sebab kita buat tanpa sponsor." kata aku padanya dalam perbualan telefon beberapa hari yang lalu.

Aku kini menantikan jam terus berdetik. Tik-tok-tik-tok.... menanti 25 September, 2005. Aku harapkan sambutan yang baik untuk pertandingan memancing yang julung kalinya diadakan di Fifofo.

Datanglah beramai-ramai bersama keluarga ke Pertandingan Memancing d'Fifofo pada 25 September, 2005 jam 8:00 pagi hingga 1:00 petang.

www.geocities.com/bekalimas
http://hasza.blogspot.com/

0 Comments:

Post a Comment

<< Home