30 July 2010

Ilmu & Ibadah [i]

27 Julai 2010 jam 6.00 petang. Aku memandu laju menyusuri Lebuhraya MTD dan Jalan Gombak dari Kampung Janda Baik pulang ke Desa Pinggiran Putra di Sepang. Setengah hari menikmati keindahan taman Wadi Hussein begitu menenangkan. Desiran sungai masih kedengaran. Kadang aku termenung melihat buih-buih air yang berlari-lari berkejaran bersama arus yang membawanya. Batu-batu sungai jelas kelihatan. Ada yang kehijauan berlumut dan ada yang keputihan dan kehitaman atas dalamnya air yang menyelimutinya. Anak-anak ikan juga kelihatan. Sekelibat, aku boleh nampak anak-anak ikan sebarau berenang-renang berlumba dengan anak-anak ikan lain di celah-celah batuan.

Persekitaran yang penuh kehijauan menambah ketenangan hati aku. Ada pohon-pohon durian dengan buahnya bergantungan. Menanti masa untuk jatuh dan menjadi habuan penghuninya. Atau mungkin menjadi habuan pelawat yang tidak putus-putus mengunjungi Wadi Hussein ini. Pokok binjai gagah di lereng bukit dengan buahnya yang kelihatan masih muda lagi. Aku terbayangkan sampai waktunya ia akan ranum dan enak untuk di campur dengan cili dan bawang menjadi sambal binjai. Bunga-bungaan yang subur juga seolah senang untuk tumbuh segar di sini. Seperti ada tarikan tertentu di sini untuk bunga-bungaan subur dan membiak. Kolam-kolam ikan buatan juga indah dengan susunan batu-batu sebagai dindingnya. Pak Habib juga menyayangi ikan-ikan. Bila mana aku katakan yang aku ingin memancingnya, katanya "Jangan... itu semua anak-anak aku". Hahahaha....... Aku juga meminati ikan. Kolam kecil di laman rumahku punya pelbagai jenis ikan juga. Ada Koi, ada Peacock, ada Rohu, ada Patin, ada Keli, ada Leekoh dan ada juga Talapia. Menjadi tempat aku menenangkan fikiran di malam-malam hari dengan bunyi desiran air yang jatuh dari kolam di atas.

Dan aku membayangkan sesuatu yang sama juga. Mungkinnya di sinilah Pak Habib mencari ilham untuk buku-bukunya yang menyengat.

Perjalanan ini membawa hati yang girang. Di jari tanganku tersarung sebentuk cincin hadiah ayahanda angkat aku Pak Habib Syed Hussein Alattas. Sebentuk cincin berbatu biru dan kilauan bintang kelihatan jelas apabila terpancar cahaya. Blue Star Sapphire di kelilingi tiga puluh butir berlian. Seperti tahu sahaja Pak Habib yang aku ini manusia bernombor 9. Warna biru sebagai warna sokongan. Tenaga sokongan. Palajaran daripada Dr Azizan Osman menjadikan aku peka kepada warna-warna. Kepada elemen-elemen bumi dan peka kepada nombor-nombor. Dan pelajaran yang aku dapati daripada Pak Habib pula menjadikan aku menghormati lebih lagi isi alam ini. Bahawa semua ini adalah milikNya. Yang hanya dipinjamkan sementara untuk kita. Selagi hayat kita masih ada. Dan aku mula teringat puisi aku yang aku tuliskan lama dahulu.
Puisi singkat tentang kehidupan dan kematian.

Kehidupan
adalah satu pelayaran
lalu mampir di pulau kecil
untuk menyimpan bekalan
bagi melayari samudra
yang tidak berkesudahan

Kematian

adalah tidur yang amat panjang

merungkai segala rahsia

di pulau kehidupan


hasbabu – siber jaya 04012002



Satu lagi hadiah yang aku terima adalah buku terbaru ayahanda Pak Habib, Tuhan, Politik dan Seks. Buku yang belum terbit lagi. Rasa terharu menjadi pembaca pertama buku ini yang baru siap 10 naskah sahaja. Aku memang mengikuti hasil tulisan Pak Habib bermula dari buku Pemuda Di Zaman Mahathir dan seterusnya hingga pada tahun 1990an. Aku memang usahakan mendapatkan buku-bukunya walau aku belajar di luar negara pada lewat 1980an. Akan aku berkirim kepada sesiapa sahaja yang pulang ke Malaysia jika aku tahu ada buku baru yang diterbitkan seperti Siapa Lawan Siapa, Hantu Bukit Cina, Talkin Untuk UMNO dan banyak lagi. Cara penulisan yang bersahaja tetapi berisi sangat kena dengan jiwa aku. Walau aku bukan seorang ahli politik, menyedari bahawa pengetahuan berkait politik adalah penting untuk kesinambungan perjuangan ummah dan bangsa, maka hendak tidak hendak, aku harus juga membaca. Buku tentang kebenaran. Buku-buku tentang pembentukan masyarakat untuk menjadi iktibar kepada yang lainnya bahawa dalam mengejar cita-cita untuk berkuasa, kita tidak harus lupa bahawa udara yang kita sedut setiap hari adalah bukan milik kita. Nasi yang kita suapkan setiap hari juga bukan milik kita.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home