19 August 2010

Ilmu & Ibadah [ii]


Sesekali kelihatan kereta mewah melintasi laju menuruni bukit dari Bukit Tinggi ke arah Kuala Lumpur. Wah..... dalam hati aku. Milik orang kaya ini!! BMW 750Li. Mungkin harganya mencecah 7 angka. 3 kali ganda harga rumah aku. Ini sudah seperti "banglo bergerak" kalau dinilaikan harganya. Cuma harganya susut saban tahun. Tidak seperti banglo yang saban tahun nilainya meningkat. Mungkin pemunyanya orang yang sangat kaya. Sudah tidak tahu bagaimana untuk menggunakan duitnya. Atau kereta itu hanya kereta sewa. Atau milik syarikat.

Sesampai aku melepasi Zoo Negara melalui Jalan Lingkaran Tengah 2, aku mula melintasi kawasan elit Bukit Antarabangsa. Kawasan yang terkenal sebagai kawasan tanah runtuh. Tanah bukit yang mudah runtuh. Aliran air bawah tanah yang deras kalau mengikut ilmu geologi. Maka ketidakseimbangan pembangunan dan ketidakstabilan tanah ini boleh membawa padah. Bukan sekali, malah banyak kali berlaku. Tanah bukit runtuh. Tebing runtuh menimpa rumah. Dan banyak lagi yang kita biasa dengar. Kita sering lupa. Atau kita saja-saja lupa. Peringatan demi peringatan diberi tetapi kita ketepikan sahaja hanya untuk mengejar duit. Mengejar harta (seperti kata Pak Habib dalam bukunya Wanita, Tahta dan Kuasa). Sanggup melakukan apa sahaja hatta mencuri milik orang lain.

Kini, harta menjadi ukuran segalanya. Untuk anak-anak, kekayaan ibubapa menjadi ukuran. Kaya bapanya, mudahlah anak-anak memasuki sekolah yang baik-baik. Lihat sahaja di sekolah-sekolah berasrama penuh. Kereta yang menjalar tidak memungkinkan pendapatannya di bawah RM 6,500. Dengan harta dan kuasa, mudah sahaja membeli apa sahaja.

Untuk kaya, kita sampai lupa anak-anak dirumah ditinggalkan dengan bibik yang di impot dari luar. Sedang ibu dan bapa yang seharusnya mendidik anak-anak, sibuk berlumba mencari harta. Untuk kereta besar, rumah besar. Anak yang membesar, terbuka kepada pelbagai gejala sosial. Maka lahirlah idea untuk "sekolah pelajar hamil". Lahirlah "pusat serenti" yang membiak hampir di semua daerah kini. Ini semua kesan untuk "menjadi kaya". Kaya kini menjadi ukuran segala-galanya. Cita-cita dan harapan untuk menjadi kaya, adalah satu kemestian. Tidak salah jika kaya. Malah itulah tuntutan dalam agama pun.

[Apabila telah ditunaikan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung. – Al-Jumu'ah : 10]


Kita apabila sudah kaya, kita akan lupa segalanya. Kita lupa kepada orang sendiri. Budaya cantas-mencantas menjadi lumrah. Bukan untuk membantu yang susah, sebolehnya mahu kaya seorang. Rumah dipagari tembuk tinggi. Tidak boleh mengintai langsung apa yang ada di dalam. Kalau perompak masuk pun, tiada siapa yang tahu dari luar. Keliling rumah penuh dengan kamera canggih memantau keliling takut-takut kalau rumahnya didekati jiran-jiran. Kita jadi lupa pada tauladan yang diberikan oleh seorang sahabat Rasulullah SAW. Sahabat yang kaya-raya. Apa yang di niagakan semuanya menjadi sehingga katanya sendiri

"Sungguh, kulihat diriku, seandainya aku angkat batu pun nescaya aku temukan emas dan perak di bawahnya". Itu kata Abdulrahman bin Auf r.a. seorang sahabat Rasulullah SAW yang dikaruniakan kemurahan rezeki yang melimpah-ruah. Yang digunakan untuk jalan Allah. Sahabat yang kelapan menyahut syiar Islam. Seorang pioneer dalam pengembangan Islam sebelum Rasulullah SAW melakukan da'wahnya di rumah Arqam lagi.

Diceritakan pada suatu hari, Madinah menjadi riuh-rendah dan hiruk pikuk seperti dilanggar musuh gamaknya. Bila diketahui oleh Ummul Mu'minin Aisyah r.a. bahawa yang menjadi keadaan demikian adalah kerana Abdulrahman bin Auf baru pulang dari Syam membawa 700 kenderaan penuh muatan dagangan, Ummul Mu'minin kemudiannya berkata ,

"Aku pernah mendengar Rasulullah SAW berkata : Kulihat Abdulrahman bin Auf masuk surga dengan perlahan-lahan."

Kata-kata ini disampaikan kepada Abdulrahman bin Auf r.a. lalu beliau mendatangai Ummul Mu'minin dan mengatakan beliau pernah mendengar Rasulullah berkata perkara yang sama. Lalu dia menyembahkan semua muatan kafilah itu sebanyak 700 kenderaan kepada penduduk Madinah untuk jalan Allah.

Kataatannya kepada agamanya, kejujurannya berniaga, halal barangan perniagaannya, menjauhi segala yang syubhah dan sentiasa meletakkan jalan Allah mengatasi segalanya menjadikannya seorang usahawan yang sentiasa mendapat keuntungan.

Begitulah cerita yang diceritakan dalam kitab Rijal Haolar Rasul bagaimana kehidupan manusia kaya di zaman Rasulullah SAW yang dijanjikan memasuki syurga dengan perlahan-lahan.


0 Comments:

Post a Comment

<< Home