01 September 2010

Ilmu & Ibadah [iii]

Kini, sukar mendapat orang yang begitu. Yang kaya akan sering mencantas yang lain untuk menjadi kaya. Kalau ada projek kerajaan, apa sahaja sanggup dilakukan untuk memastikan projek tersebut didapatinya tanpa mengukur keupayaan sendiri. Maka akan berlakulah lebuhraya runtuh, jambatan retak, bangunan runtuh, bumbung roboh, paip air bocor dan sebagainya. Pelbagai kerosakan yang dilakukan hanya kerana untuk mengaut untung yang lebih. Bottom line, DUIT lebih dari projek yang didapatinya. Jika tidak boleh melakukan, maka diupah entah dari mana-mana luar negara untuk melakukannya. Sehingga harga yang seribu menjadi puluhan ribu. Yang akhirnya, kebaikan yang didapati sedikit cuma, malapetaka yang menanti dikemudian hari.

Inilah jika kita mahu kaya tanpa Ilmu dan tanpa nilai-nilai Ibadah tersemat dihati.

Contoh mudah, bila kita tanyakan kepada rakan kita yang kelihatannya pulang kerja lewat,

"Wah.... lewat balik kerja...." maka jawabannya pada kebiasaan adalah....

"Nak buat camana..... Carik makan......."

Berapa ramai yang menjawab, "Ialah.... cuma menjalankan amanah majikan jer....." atau, "Sudah begitu tanggung-jawab saya, wajip saya tuntaskan..." atau, "Inilah sumber rezeki keluarga saya ...." Tentunya amat jarang sekali.

Begitulah kita jika tanpa ilmu. Ilmu suatu yang luas. Membuat kopi pun satu ilmu, mengkaji cakerawala pun satu ilmu, bukan hanya ilmu sains dan matematik malah ilmu kemasyarakatan pun banyak diceritakan dalam Al-Quran. Hanyanya kita hanya membaca dengan bahasa Arab tanpa melihat maksudnya yang tertuliskan.

Ilmu seharusnya digunakan untuk kesejahteraan sejagat, bukan untuk kepentingan sendiri sahaja. Sekarang ini banyak ilmu digunakan untuk kerosakan. Kebejatan masyarakat kini juga kerana banyaknya ilmu yang berleluasa tanpa batas-batas ibadah menjadikan punca kepada semua jenis penyakit. Penyakit yang nyata yang kita lihat seperti denggi, chikungunya, aids, dan sebagainya malah ada penyakit yang tidak kelihatan seperti penyakit hati. Perasaan hasad dan dengki, cemburu dan sebagainya.

Dengan ilmu sahaja tanpa niat ibadah dalam implementasinya, maka bobroklah dunia. Perang di sana-sini. Kepandaian sains dan teknologi digunapakai untuk membuat kerosakan di mukabumi. Bukan menyelamatkan mukabumi yang juga makhluk Allah ini, malah merosakkannya dengan ciptaan-ciptaan yang merosakkan. Tidak pernah tamat sejak dari dahulu lagi pemusnahan kaum dan peperangan yang berlaku silih berganti. Selepas perang Balkan, perang Afghan, perang Teluk kedua. Selepas ini tidak tahu pula perang entah di mana. Mungkin di sini, di negara kita ini. Ini tidak mustahil berlaku. Terlalu banyak usaha-usaha untuk memusnahkan kestabilan negara kita sejak dua menjak ini. Pelbagai cara digunakan termasuk mengadu-dombakan orang-orang Islam sendiri sehingga orang Islam mengkafirkan orang Islam lainnya dan mengangkat orang yang nyata kafir sama seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Inilah ilmu yang didapati tanpa nilai ibadah yang menyalutinya. Yang melihat dari luaran sahaja. Dan kebanyakannya diselimuti oleh maksud halus lain bagi merosakkan ummah dan membunuh kesejahteraan kehidupan. Begitulah liciknya musuh-musuh Islam telah menerobos hati-hati kita dan merosakkan benteng ketahanan kita dengan menggunakan orang-orang yang bertopengkan agama untuk merosakkan bangsa dan agama sendiri. Pelbagai istilah "keAraban" diketengahkan bagi menjadi justifikasi "keIslaman". Dan begitulah pandangan umum. Yang "keAraban" akan kelihatan "keIslaman". Berbahasa ana – ente, serban tidak lekang dari kepala, tetapi kehidupan penuh dengan caci-maki dan fitnah memfitnah.

Bila mana ilmu dikaitkan dengan ibadah, maka adalah suatu cerita tentang dua orang yang berilmu tetapi tidak beribadah, dan seorang yang kuat ibadah tetapi tidak berilmu.

Diceritakan oleh yang empunya cerita, seorang yang pandai ilmu ini sedang berpoya-poya dan sedang mengusik seorang perempuan untuk tujuan memuaskan nafsunya. Maka datang seorang lelaki mendekati dan mengatakan kepadanya yang dia diperintahkan oleh Allah untuk memberitahu bahawa ajalnya akan sampai pada jam 12 tengah malam nanti. Dia lantas menjawab;

"Kamu ingat aku bodoh ke? Ajal manusia tak ada siapa yang tahu bila akan berlaku. Cuma Tuhan sahaja yang tahu."

Lelaki yang sama mendekati pula si kuat ibadat yang sedang khusyuk berzikir di masjid. Bila di dekati dan memberi salam, lantas dia menyampaikan yang Allah telah menerima semua ibadahnya. Tidak payahlah dia bersengkang mata beribadah lagi selepas ini. Dengan senang hati, dia melompat kesukaan;

"Yahoo.... tak sia-sia aku penat-penat beramal selama ini. Semua telah diterima Allah. Sekarang aku boleh buat apa yang aku suka."

Begitulah jadinya bila punya ilmu tapi tidak digunakan untuk tujuan ibadah dan kuat ibadah tapi tidak dengan ilmu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home