11 October 2004

Petang Ambil Angin di Alamanda....


Dua beradik kembar ini sudah tahu..... Saban petang, bila ayahnya pulang,
mahu dibawakan berjalan-jalan ke Alamanda..... Dengan alasan "Beli makan Putih...."

Putih... Anak Kucing Siam yang manja.....


Putih..... seekor anak kucing Siam yang hampir kehilangan nyawanya. Diurut dan dibelai menjadi kesayangan keluarga.... Lebih-lebih lagi Izzat yang selalu menggomoli kuching yang mandinya dua hari sekali......

Berlumba Dengan Waktu.....

Beberapa hari berlalu bagai terlalu laju. Aku tidak mampu untuk berlumba lari dengan waktu ini. Semakin aku kejari, semakin aku ketinggalan. Atau aku sebenarnya yang baru belajar mengenali realiti?
Hari ini, anak-anak ku yang dua orang sudah mula periksa akhir tahun. Seorang di tahun 1 dan seorang di tahun 5. Doa aku bersama kucupan pagi tadi, agar boleh menjawab soalan-soalan dengan tenang. Aku tidak tahu samada doa itu adalah doa yang sama ayahku lakukan dahulu..... Aku tidak pernah walau sekali menerima kucupan atau ciuman dari seorang ayah ketika aku ke sekolah. Celik mata sahaja, ayahku sudah tiada. Sudah mungkin terbongkok-bongkok menoreh pokok-pokok yang mengalirkan cairan putih. Yang kemudiannya bertukar menjadi duit syiling atau kertas dan kemudiannya menjadi makanan buat aku mengisi perut. Maka jadilah aku sebagai aku kini. Membesar kuat dan sihat. Hasil keringat oleh pokok-pokok getah yang kini semuanya sudah tiada. Sudah menjadi taman industri. Sudah menjadi perumahan. Sudah menjadi tanah terbiar.......
Kapan aku melihat anak-anakku bermain-main, aku lantas melihat aku dahulu. Dulu tiada permainan sebegitu. Tidak semudah itu untuk dapatkan apa sahaja. PS2, kasut yang punya roda, yoyo yang bernyala, kereta F1 rekokon (remote control) dan pelbagai lagi.... Anak-anakku mungkin bertuah, kehendaknya jarang-jarang tidak dipenuhi. Anak-anakku mungkin bertuah, apa yang dikehendaki, tidak hari ini, esok atau lusa boleh ada di depan mata. Atau kebertuahan hari ini adalah satu yang tidak benar?
Aku sendiri masih mencari jawabannya. Yang aku janjikan untuk periksa kali ini, jika mendapat nomor satu lagi sebagai mana periksa yang lalu, ada habuannya yang aku tidak mahu beritahukan. Anak-anakku, amat berbeza sekali dangan aku tiga puluh tahun dahulu........