16 March 2005

Ayah Buat Pucin Kenapa?

"Ayah buat pucin kenapa?" tanya Izzan, akan kembar aku yang kecil. Dia menarik muka sambil menyembunyikan wajahnya daripada aku. Aku mendekatinya.

"Ala.... ayah tak sengaja. " jawab aku cuba memujuk. Cuba memeluknya dari belakang. Dia melarikan diri dan menekup muka ke langsir.

"Ala sayang... marilah sayang ayah. Ayah tak sengaja...." kata aku lagi memujuk.

"Ayah buat pucin kenapa? Kan pucin mati." katanya disusuli satu raungan. Sedihnya aku bukan kepalang.

Itu terjadi dua jam sebelumnya. Jam hampir pukul sembilan malam. Aku ingin segera ke Alamanda membeli susu anak kembar aku yang hampir habis sebab esok tidak boleh balik awal atau balik waktu tengahari. Dalam mengundur perlahan-lahan, terasa terlanggar sesuatu. Aku terpegun. Kedua-dua anak kembar yang juga di kereta juga terpegun. "Putih Kecik", anak kucing kesayangannya dan juga kesayangan menggelupur di depan kereta. Aku tanpa sengaja telah melanggarnya hingga pecah kepalanya. Dia cukup suka bermain-main di bawah kereta. Sering aku terpaksa memberhentikan kereta atau menghalau kucing-kucing aku dan anak-anak ku daripada bermain-main di bawah kereta.
Apakan daya. Kucing memang tidak faham bahasa kita. Di nasihat pun tidak mahu dengar. Dan silap aku juga.......
Dua minggu berlalu, itulah alasan Izzan untuk merajuk dengan aku.
"Ayah buat pucin kenapa?" sambil menyembunyikan wajahnya daripada aku......
Di malam kejadian, aku bermimpi "Putih Kecik" datang dengan kepala kemek meminta makan daripada aku. Seperti biasa masa hidupnya. Menggesel-geselkan badannya kepada aku sambil berjalan ke tempat makanannya.....