15 November 2005

Raya dulu-dulu vs Raya sekarang

Raya dulu-dulu

Belum masuh separuh bulan Ramadan, aku dan geng sudah sibuk ke sana ke sini mengumpulkan tin-tin susu kosong. Pusing keliling kampung ke belakang-belakang rumah orang, ke kedai-kedai minum, kedai mamak dan sebagainya. Mengumpulkan tin-tin susu kosong untuk dibuat pelita. Berpuluh-puluh bila dicampurkan dengan pelita-pelita tahun sebelumnya. Malah mencecah beratus-ratus. Selepas itu beberapa tin akan dikorbankan untuk dipotong-potong menjadi empat segi kecil-kecil bagi lalu digulung dengan cara tersendiri bagi membuat tempat sumbunya. Di masukkan ke lubang yang dibuat di tengah-tengah tin tadi. Sumbunya di buat dari tali guni yang di carik-carikkan. Jadilah pelita buatan sendiri dengan kos RM 0.00!!

Raya sekarang

"Ayah, tak beli lampu pelita ker?" baru seminggu berpuasa, anah-anak aku dan nak aku pasang pelita. Mencarilah aku ke Dengkil sehabisnya waktu kerja. Belikan 30 pelita pelastik dengan satu tin penuh minyak tanah. Minyak tanah sudah naik harga lebih 100% berbanding tahun lalu. Tahun lalu, satu tin cuma RM 20, sekarang sudah cecah RM 42!! Lampu pelita plastik, hanya diletakkan di atas bata merah sempadan dataran meletak kereta dengan taman bunga-bunga aku. Bila angin bertiup, api pelita melintuk ke tepi membuat pelita kepanasan dan cair. Belum tiga hari, sudah lebih separuh tidak boleh diguna pakai. Pergilah aku sekali lagi dengan anak-anak aku dan isteri aku jalan-jalan ke Warta Bandar Baru Bangi. Jumpa lampu pelita logan siap dengan tiang buluh sekali. Anak aku capai minta 20 batang.

Raya dulu-dulu

Masuk kebun-kebun getah mencari anak-anak pokok getah yang tumbuh meliar. Cari yang bersaiz sebesar obujari kaki lebih kurang. Potong dalam 4 kaki panjang buat tiang. Kongsi-kongsi duit buat beli pakuu tenpat sangkut pelita tin buatan sendiri.

Raya Sekarang

Tak payah susah payah cari tiang lampu. Sangkut saja pelita di pagar. Itu pun yang pasang pelita. Kebanyakannya tak ada pelita. Cuma banyak lampu kelip-kelip....

Raya dulu-dulu

Dua bulan sebelum puasa, sudah kumpul duit belanja sekolah. Sehari RM 0.20, sebulan dapatlah RM 6.00. Tambah dengan duit jualan ais di bulan puasa, upah jual tapai dan sebagainya, bolehlah kumpul-kumpul dapat dalam RM 15 untuk hari raya, beli mercun dan bunga api. RM 10 dah dapat banyak bunga api, mercun padi dan mercun tarik. Malam-malam, balik sembahyang terawih, bermain bunga api hingga larut malam.

Raya sekarang

Mana boleh main mercun dah. Nak beli mercun pun kena ada komplot sorok-sorok. Tahun ini dapat jumpa sorang tauke yang jual mercun di pekan Dengkil. Macam-macam ada. Tak boleh dia jual terus di tempai dia. Siap hantar ke rumah lagi. Kumpul-kumpul order kawan-kawan ofis dan jiran-jiran (termasuk sorang DSP), beli dengan tokey ini. Seronok tokey ini dapat sales sekali hantar sahaja cecah RM 2,500!!!! Anak aku raya tahun ini beraya sakan dengan mercun yang macam-macam ada!!!! Tunder clap, whistling moon traveller, parachute, battery, roman candle, super matches, jumping frog dan macam-macam lagi...... Main di perumahan, cuma main bunga api sahaja. Balik kampung, baru raya sakan!!

Raya dulu-dulu

Solat terawih menjadi kemestian. Ke surau dengan satu kemestian membawa bekalan untuk moreh. Selepas terawih, akan diadakan tahlil mengikut keluarga yang menerima giliran membawa air minuman moreh. Selesai tahlil, bebudak seperti aku akan bermain "jedur" satu bunyian yang dimainkan oleh dua orang dengan mengetuk kentung dan tabuh dengan irama tertentu sambil yang bertugas akan menyusun makanan moreh. Yang kanak-kanak akan bermain di halaman surau, yang dewasa akan terus dengan tadarus. Jika keletihan, naik kembali menghirup minuman dan menjamah makanan yang memang sedia terhidang hingga lewat malam. Kemeriahan surau terus-terusan hingga tengah malam.

Raya sekarang

Lebih banyak jemputan berbuka puasa di hotel-hotel atau restoran-restoran. Mana yang kosong, barulah dapat berterawih di masjid. Moreh hanya dengan secawan teh dan kuih ala kadar. Yang bertadarus, sendiri-sendiri di ruang yang lain. Majoriti akan hilang dari masjid menjelang jam 10 malam.

Raya dulu-dulu

Bila cuaca cerah, ramai orang menjemur tepung dengan gula untuk buat kuih dan bahulu. Pagi-pagi selepas sahur, sibuk tolong emak mengacau telur dengan margerin. Untuk buat bahulu dengan pelbagai kek dan kuih tradisi, kuih bangkit. Bila masa bakar buih bangkit, sengaja pulak bagi dia hangus sedikit. Boleh terus nanti makan untuk berbuka puasa. Tak payah tunggu hari raya.

Raya sekarang

"Esok kita pergi Kajang. Kat Metro tu banyak orang jual kuih." aku cuma akan senyum sahaja. OK. Memandulah ke Kajang, atau ke Kelang di Pasar Jawa. Pusing-pusing dekat satu jam baru dapat tempat letak kereta. Bertawar-menawarlah dengan pembeli. Pelbagai kuih-muih untuk hari raya. Dari kacang sampai kuih bahulu. Berbagai bentuk dan rasa. Hulur duit beberapa helai, kuih dan duit bertukar tangan. Lenguh tangan aku menjinjing beg plastik.

Raya dulu-dulu

Sampai di rumah selepas berterawih (main bunga api atau galah panjang sebenarnya), emak selalunya tengah sibuk menjahit baju Melayu. Baju buatan sendiri yang kainnya di beli di pasar malam. Semua satu warna. Kadang terjongok sambil meniarap menonton emak menjahit. Ada juga tolong-tolong pegangkan dua helai kain di belakang mesin jahit. Mesin jahit pun jenis yang tak berkaki dan kena hanyun dengan tangan untuk bagi dia berpusing supaya jarum turun naik menyulam benang. Hingga tertidur sehingga emak kejutkan untuk bersahur.

Raya sekarang

Tukang jahit tahunan sudah ada. kalau bukan Omar Ali, Kas dan sebagainya di Wisma Yakin. Setiap tahun, di situlah menjahit pakaian. Kalau lambat sedikit, susah dapat yang sama warna. Tahun ini, tiga orang dapat sama corak kain. Yang kembar terpaksa dipakaikan dengan baju Melayu berkain lain corak walau warna hampir sama.

Raya dulu-dulu

Bila takbir kedengaran pada malam raya, seronok bukan kepalang. Berduyun-duyun dari surau akan keliling kampung sambil bertakbir. Sampai awal pagi. Tidur hanya pukul 3 - 4 pagi. Untuk esoknya ke surau. Solat Aidil Fitri. Selepas selesai, bersalam-salaman dan makan beramai-ramai di surau. Lontong daun pisang dengan sayur lodeh, kari ayam dan rendang adalah juadah wajib di surau sebelum semua balik ke rumah masing-masing. Hampir semua keluarga akan membawa juadah ke surau untuk dikongsi besama-sama satu kariah seramai 23 keluarga.

Raya sekarang

Malam raya, sehabis pengumuman esok raya diadakan di ti-vi, aku baru bersiap untuk mengemas pakaian untuk balik kampung. Tahun ini sepatutnya beraya di sini dahulu, tetapi sudah bertahun tidak solat Aidil Fitri di surau Hj Alias, Meru maka baliklah aku malam itu ke Meru. Paginya solat Aidil Fitri, di surau, hanya beberapa kerat orang yang aku kenali. Semua yang aku panggil "wak" dulu sudah tiada. Rupanya bapa aku yang sudah 82 tahun itulah yang tertua di kariah itu. Selepas solat, selepas bersalaman, masing-masing bergegas pulang. Aku hanya memandang. Bebarapa bungkus juadah yang di bawa di hidangkan. Dan di jamah tidak sampai 10 orang, orang-orang lama di situ. Jumlah rumah sudah melebihi 3X dengan dahulu, yang menjamah hidangan beberapa bungkusan tidak sampai 10 orang!!!!



Raya dulu-dulu, raya sekarang, banyak sungguh perbezaannya!!!!