05 November 2005

Eid al-Mubarak

"Hello.... Assalamualaikum....."

"Alaikum salam..." jawab suara di hujung sana.

"Sapa raya kat sana tahun ini?" tanya aku pada seorang kakak aku.

"Tak ada sapa. Kata Alo, kalau Lan balik, dia balik Melaka. Kalau tak, baliklah dia.... Adi raya kat PD kemudian ke Melaka dengan Panglima...." jawab kakak aku.

"Kalau macam tu, aku baliklah.... Dah lama sangat tak sembahyang raya kat sana...." jawab aku.


Memang sudah lama sungguh aku tidak bersembahyang raya di surau kariah aku di Meru. Rasanya sudah hampir 8 tahun. Sejak emak aku meninggal dunia tahun 1995, aku memang tidak pernah berhari raya pertama di Meru. Bapak sudah tinggal dengan kakak. Kalau balik pun, hanya selepas solat Aidil Fitri di tempat aku tinggal, sebelum ke Perak, kampung emak anak-anak aku. Lama di rumah kakak, lain rasanya dengan tamu yang tidak putus-putus dari keluarga ipar aku bercampur dengan sanak-saudara bapak aku yang masih ada. Dari keluarga yang ramai, emak aku dulu sulung dari 8 beradik. Bapak aku bongsu dari 8 beradik juga. Bapak aku sudah 82 tahun umurnya tinggal dua beradik dengan kakaknya yang tinggal di Cheras Baharu. Maka sepupu-sepupu yang menghormati pakciknya akan datang silih berganti. Jarang yang ketinggalan sebagaimana aku jarang ketinggalan ke rumah makcik aku yang seorang di Cheras Baharu dan adik-adik emak aku berlainan ayah di Kg Delek, Petaling Jaya, Datok Keramat, Meru......


Selepas solat Aidil Fitri, santai sebentar sehingga jam 12:00 tengahari. Kalau ke kuburan emak selepas solat, tentunya akan tersangkut kereta di sana. Baik menunggu hingga reda tanah perkuburan Islam di Meru dengan pengunjung.

Sampai kembali ke rumah kakak, rupanya rumah sudah "di serang" dengan tetamu. Selepas segerombolan demi segerombolan hingga aku yang nak bertolak awal ke Teluk Intan pun terpaksa menangguhkan hingga selepas Maghrib.... selepas ke rumah kakak-kakak dan abang aku yang berkampung di Meru. Dan begitulah selalunya di Aidil Fitri di rumah akak aku di mana bapak aku tinggal. Kebiasaan saban tahun hingga kebiasaannya mula reda di hari raya yang ke-5.

Bapak aku, cucu sudah 48 orang dengan 8 orang cicit!!!!

30 October 2005

Ramadan Al-Mubarak

Ramadan al-Mubarak ini satu yang menyucikan aku dan hati ku. Langkah terasa dipendekkan dan waktu terasa begitu panjang.

Harian bermula awal, seawal jam 2.00 pagi ketika itu aku baru sahaja pulang. Melayani dapur sebentar agar mudah buah hati aku nanti. Dan melayani tidur barang dua jam sudah memadai di bulan mulia ini. 4:30 pagi, buah hati aku mengejutkan aku untuk sahur. Dan aku sambungkan kepada dua anak-anak aku yang berpuasa juga untuk sahur.

"Lepas makan sahur, makan 3-4 biji kurma. Biar tak penat nanti." pesan aku pada anak-anak aku. Sama dengan pesan Atuk aku pada aku kira-kira 30 tahun dulu......

Menjalani waktu pejabat seperti biasa, hanya kurang waktu makan dan sembang. Jam 5 petang sudah di bazaar Ramadan jika berkesempatan. Beli sedikit kuih-kuih untuk anak-anak. Hujung minggu, atas permintaan anak-anak, dapur jadi milik aku. Dari nasi ayam, nasi beriyani, mee udang, mee kari, laksa, soto ayam... silih berganti. Dan tahun ini, aku jarang berbuka di luar. Lebih enak berbuka di rumah sahaja. Tidak mahu bazirkan RM 150++ untuk satu keluarga hanya untuk berbuka puasa selalu-selalu. Dan kebiasaannya, jika berbuka di luar, akan terlepas terawih di masjid....

Malam, aku akan keluar ke Fifofo jam 11:30 malam selepas tadarus di masjid hingga jam 2:00 pagi. Rutin harian. Menjadi saksi transaksi wang kutipan di kaunter sambil melayan rakan-rakan. Di hujung Ramadan, melayan anak-anak sebentar bermain bunga api sebelum keluar......