28 May 2005

Kegagalan Untuk Satu Kejayaan!

Pemanduan pulang dari "mesyuarat teh tarik" sesi kedua lancar. Tidak kelihatan "road block" di jalan-jalan di Putrajaya. Tiga-empat hari ini, hampir setiap hari ada pemeriksaan polis di jalan-jalan di Putrajaya. Kalau tidak di jalan A, akan ada di jalan B. Melambatkan perjalanan aku yang sering ingin segera ke tempat urusan. Dua "mesyuarat teh tarik" di Kelab Tasik Putrajaya pun lancar hari ini. Yang pertama dengan satu kementerian berkait dengan satu "flagship" kerajaan. Dan yang keduanya berkait dengan konsultasi percuma untuk perkara yang melibatkan teknologi frekuensi radio.

Jam sudah hampir 6 petang. Aku singgah di kolam Fifofo. Menghirup udara petang. Selesai membuka jaket dan tali leher aku, aku ke bilik pejabat mencapai sebatang joran. Dua besi penyangga joran juga aku capai selain satu peket dedak GP Fifofo A47 sebagai umpan. Aku bayar harga dedak RM 4.00. Kredit pancingan aku masih ada baki 7 jam. Dalam sebulan aku peruntukkan 25 jam untuk memancing yang biasanya dengan anak-anak aku di hujung minggu atau malam-malam hari. Sambil aku memancing, anak-anak aku yang empat orang itu akan memancing anak-anak talapia sebesar 3 - 4 jari. Sedap bila di belah dua dan digoreng setelah digaul garam dengan serbuk lada putih!

Hari ini tangan aku gatal untuk memancing. Isteri aku beberapa hari yang lalu ada menyebut tentang patin. Patin Fifofo sedap. Tidak berbau. Memang itu pun komen ramai orang. Bukan hanya patin, malah ikan lain juga seperti rohu, leekoh atau pacu. Ikan leekoh di rumah sudah banyak. Di kolam depan rumah sahaja sudah melebihi sepuluh ekor. Menjadi ikan hiasan kolam pula dengan leekoh emas, merah, bunga dan biasa yang berwarna perang kehitaman. Jika aku dapat pacu, segera akan di goreng untuk di masak kicap. Anak-anak suka walau aku suka kalau dibelah dua dan bakar dengan mentega sahaja. Untuk rohu, masakan masam manis atau masakan tiga rasa menjadi kesukaan keluarga.

"Nak mancing ker?" dua tiga pertanyaan ditujukan kepada aku.

"Ha.... nak cari patin!" jawab aku ringkas.

"Abang Has ada umpan spesial untuk patin ker? Bagi sikit." satu lagi pertanyaan.

"Ada. Kat dalam, A47. Rega dia RM4.00 satu." jawab aku selamba.

"Ala.... nak yang Abang Has buat...." kata penanya lagi.

"Aku bagi pun, nko bukan boleh guna......" jawab aku balik.

Aku ambil besen membancuh dedak. Masukkan sedikit air dan masukkan dedak dalam nisbah 1:2. 1 untuk air dan 2 untuk dedak A47. Tidak ramai yang menggunakan cara tersebut di Fifofo. Itu cara aku memerangkap patin. Pernah aku menggunakan bancuhan yang sama, menaikkan patin 3 ekor dalam masa 1 jam. Hari ini, aku teringin mengulangi lagi. Mana tahu, petang-petang begini, patin kelaparan. Apatah lagi bila sehari sebelumnya hujan panjang turun dengan lebat.

Aku ambil dua perambut khas yang aku buat untuk patin. Perambut menggunakan tali "braided" berkekuatan 20 paun sepanjang lima inci. Mata kail Daiichi saiz 6 berkembar aku ikat dengan ikatan Palomar sahaja. Satu di bawah dan satu dalam setengah inci di atasnya. Aku bersedia. Turun ke tepi kolam. Mencari spot yang baik. Melihat kilauan dan riak permukaan air. Melihat longgokan buih-buih yang timbul dari dasar kolam. Banyak buih-buih, banyaklah ikan-ikan bermain. Lalu aku mengambil tempat di Villa 3. Pondok nombor 3. Cacakkan dua besi pemegang joran. Lurus dengan arah umpan yang bakal aku labuhkan. Kemudiannya, aku ambil joran aku. Joran murah. Lemax Platinum halus. Sesuai untuk memancing udang. Panjangnya cuma 4kaki 2 inci. Aku padankan dengan mesin Shimano FX1000 Front Drag dengan tali 6 paun.

Aku kepalkan dedak dalam saiz penumbuk. Kemudian aku potongkan kepalan itu separuh dengan tali perambut. Kemudiannya aku tarik perambut ke arah bertenangan dengan kedudukan mata kail sehingga mata kail berada di tengah-tengah kepalan dedak. Selepas itu, aku kepalkan kuat dan tambah sediki-sedikit lagi dedak sehingga dia berbentuk bujur telur sebesar telur itik atau lebih sedikit. Sudah puas hati, baru aku sangkutkan kekili pada perambut ke kekili di hujung tali utama sebelum aku salutkan dengan dedak yang sama tanpa menekan kuat. Aku biarkan dalam dua kaki terkeluar dari hujung joran aku. Bila aku lepaskan dedak tergantung, joran halus aku sudah melentur. Dengan berhati-hati aku menghayun kebelakang untuk kepalan dedak ini membuat satu pusingan ke atas sambil tangan aku menghayun ke hadapan mengarah permukaan kolam yang banyak buih di tengah-tengah sambil melepaskan jari telunjuk kanan aku yang "mengunci" tali di mesin Shimano tadi.

Begitu cara aku memburu patin. Kepalan dedak yang besar. Bancuhan dedak yang peroi supaya mudah dibaling ke kolam. Jika terlalu banyak air, ia akan jadi berat dan bila dibalingkan ke kolam, umpan akan lari dulu meninggalkan mata kail dan perambut di belakang.

Ikan patin adalah ikan jenis pelahap. Kuat makan dan mencari makanan yang besar sahaja. Dia tidak tertarik dengan umpan kecil tapi tertarik dengan apa yang dikerumuni ikan-ikan kecil. Itu budi pekerti patin. Dia makan dengan cara menghidu, melahap dan merentap. Salutan akhir pada kepalan dedak untuk memikat anak-anak ikan supaya datang. Ia tidak perlu dikepal kuat supaya bila terkena air, ia akan terlerai dan memberi bau yang memikat ikan ke puncanya. Bila ikan-ikan berkumpul, patin akan tertarik dan menggunakan saiz badannya untuk menguasai ketulan dedak tadi. Bila didekati hanya ketulan kecil, patin akan pergi ke tempat lain membawa diri....

Selesai membaling umpan, aku letakkan joran pada dua tiang besi yang berbentuk Y. Sebatang dibelakang reel Shimano di lekuk pemegang belakang joran dan sebatang lagi di hadapan cincin yang paling belakang. Bentuk Y boleh menjadi penghalang joran dari mudah diterbangkan bila di sambar ikan. Kemudiannya aku tegangkan sedikit tali agar dia lurus. Tidak terlalu tegang takut nanti mata kail akan terkeluar dari kepalan dedak dengan bancuhan peroi tadi. Aku letakkan sedikit plastisin pada tali utama dalam jarak sekaki dari hujung joran sebagai penanda bila ikan mengusik umpan. Bila ikan mengusik umpan, plastisin ini yang dipanggil "radar" akan bergerak-gerak. Bila ianya tegang terus, maka itulah masa untuk menyentap joran.

Aku duduk sebentar di bangku di Villa 3. Memerhati sekeliling. Ada lebih 10 orang pemancing sedang leka memancing. Ada antaranya yang seperti aku. Berkemeja dengan kasut kulit. Sahih terus ke Fifofo dari pejabat sebelum ke rumah!! Pada aku, aku sudah biasa. Fifofo berada di tengah perjalanan aku dari pejabat ke rumah. Hampir setiap hari aku akan singgah kalau tidak ada pesanan sms untuk mengambil anak kembar aku sebelum ke kolam Fifofo.

Belum 10 menit, radar plastisin di joran aku sudah bergerak-gerak. Aku berdiri menghampiri. Tiba-tiba sahaja drag yang aku longgarkan menjerit. Sreeeetttttt.... Segera aku mencapai joran dan menarik sambil mengetatkan sedikit drag. Joran halus melentur. Tali 6 paun tegang. Sesekali drag yang sudah aku ketatkan sedikit menjerit perlahan. Sret.... sret.... Tanda berlawan tarik tali dengan ikan di hujung sana. Dari atas di pondok rehat berbumbung atap rumbia ada sorakan, "Patin sudah mengena....." Aku tidak fikir ia patin. Tarikannya tidak seperti patin. Patin akan menarik ke kanan dan kiri bila berlawan. Ikan ini menarik ke satu arah sahaja. Bila aku kendurkan sedikit tali dan rentap sekali lagi agak kuat, haluannya berubah. Lalu aku jeritkan.... "Bukan patin.... Rohu nih!!"

Aku sambung pertarungan. Tahu kekuatan ikan, aku longarkan sedikit lagi drag. Ketat sangat drag akan boleh menyebabkan mulut rohu koyak. Mulut rohu agak lembut berbanding patin. Jika patin atau pacu, bila tersangkut "bol", tiada masalah untuk tanggal. Rohu dan leekoh, ikan jenis kap. Makan dengan menyedut bukan membaham. Jadi mulutnya lembut. Bibirnya lembut dan senang koyak. Bila koyak, ia akan terlepas dan mengganggu kawanan ikan lain. Permainan tarik tali aku dengan ikan di hujung sana diteruskan tidak berapa lama. Aku yang membuatkannya lama. Joran halus denga tali 6 paun. Terlalu gopoh akan membuat bibir ikan koyak atau tali utama akan putus. Akhirnya tidak sampai 5 minit, kelibat ikan sudah kelihaan. Ikan rohu!! Seseorang datang membawakan tangguk. Aku katakan tak perlu. Aku lebih mudah menggunakan player muncung panjang daripada tangguk. Aku akan biarkan ikan letih dan terdampar sebelum aku kepitkan siripnya dengan player panjang. Ikan ini akan diam sahaja bila dikepit siripnya. Tidak akan memberontak ketika diangkat ke darat. Mudah juga untuk aku mengeluarkan mata kail dengan player panjang!! Biasanya, aku tidak sentuh pun ikan-ikan yang aku pancing. Dari menaikkan dari tebing kolam, hingga memasukkan ke karung tempat menyimpan ikan. Kecuali ikan patin yang aku perlu pegang kuat di bahagian ekornya untuk menaikkan ke darat!!

Ikan pertama aku hari itu seekor rohu dalam anggaran 1.5 ke 2.0kg. Itu anggaran aku tanpa menimbangnya. Seorang sahabat membawakan kepada aku karung tempat menyimpan ikan. Aku tertinggalnya tadi!

Hari itu, sehingga jam 7pm, aku dapat menaikkan 2 ekor rohu dan seekor leekoh. Patin masih belum mahu menjamah umpan aku sehinggalah telerak (telefon bergerak) aku menjerit. Satu panggilan dari sahabat di satu kementerian yang aku temua tadi di sesi "mesyuarat teh tarik - 1".

"Tengah buat apa?" tanya suara dari sana.

"Tengah tunggu azan Maghrib, sambil layan rohu. Sambil tu tunggu ur call..." jawab aku.

"Ish... kamu nih. Ingat kat Masjid ker.... Nih lah aku call. Dapat jumpa Dato' menteri baru kejap tadi. Dia OK. Dia dah luluskan. So nko kenalah prepare. "

"Alhamdulillah........ Tima kace for good news!! So boleh arrange aku jumpa dia? Nak bagi technical explanation sikit. Biar dia faham dan boleh jawab kalau ada pertanyaan nanti. Lebih-lebih lagi dari media!"

"Boleh.... No problem. Minggu depan OK? Nanti nko tungu surat aku dulu untuk approval dia. Nko jangan buat media release dulu. Get prepared saja. Mungkin Dato' yang nak buat media release nanti."

"Sat ya..." belum sempat uat apa-apa..... Sreeeettttttt.................. Mesin Shimano FX1000 aku menjerit kuat! Ini kuat sungguh! Aku sempat capai joran aku yang hampir terjun ke kolam. Aku ketatkan drag lagi. Ini sahih patin.

"Sat Ji.... Patin sambar joran aku." aku masukkan telerak aku yang memang dari tadi aku set ke loudspeaker ke poket baju aku. Boleh aku bercakap sambil menarik ikan.

"Besar ke Has.... " suara dari poket aku.

"Boleh tahan jugak Ji..... Sahih patin nih." ikan di hujung sana berkeliaran ke kanan dan kiri dalam aku berusaha menaikkannya. Aku dapat rasakan ini ikan besar daripada pengalaman aku menaikkan patin di Fifofo sebelum ini. Lenturan joran aku hampir membuat bentuk U bila aku tarik joran tinggi. Joran lembut, lenturan menarik sekali. Anggaran aku ikan ini dalam 4kg atau lebih. Suara Haji XX di poket aku memberi galakan dengan teori pancingan cara dia. Suara sahabat-sahabat yang menonton di atas juga memberi semangat menyuruh aku bergerak mendekati ikan yang berada di tepi tebing jauh di kanan aku. Aku biarkan sahaja. Memancing secara sport-fishing. Berdiri setempat dan memainkan ikan supaya bergerak mendekati. Seorang sahabat sudah datang dengan tangguk untuk membantu. Aku beritahu sahabat yang suaranya di poket aku untuk menamatkan perbualan. Aku akan tunggu surat dia minggu depan sambil mengucapkan terima kasih. Perjuangan aku dengan patin ini perlu diselesaikan. Sedikit demi sedikit patin ini mendekati aku. Sesekali, tarikan kuat memaksa tali dari reel Shimano keluar lagi dan ikan menjauh lagi ke tengah kolam. Ini berterusan. Berlawan-lawan. Untuk aku ketatkan drag, takut tali akan putus. Akhirnya, pertarungan hampir 10 menit selesai! Patin buah, berperut lekuk berwarna kekuningan terdampar di tepi Fifofo. Tanpa tangguk, aku meminta sahabat aku pegang pangkal ekornya kuat. Lebih mudah dari menggunakan tangguk. Aku melepaskan mata kail yang melekat "bol" dengan player muncung panjang. Sahabat aku terus ke pejabat Fifofo untuk menimbang patin tadi. Dari atas, dia menjerit.....

"Bang Has, 4.7kg!! Jackpot nih!!"

"Jackpot janggut engko. Aku mana boleh jackpot-jackpot tuh!!" Sebenarnya bukan ada jackpot, hanya saguhati bulanan oleh pengurusan kolam untuk ikan terberat mengikut spesis. Setiap bukan, empat spesis dipilih. Yang terberat akan menerima RM 100.00 saguhati dari pengusaha kolam. Para pengusaha, walau seberat mana pun ikan yang dipancing, tidak boleh mempertandingkan ikannya. Itu undang-undang.

Itulah, Pancingan Memang Satu Refleksi Kehidupan. Dalam pancingan ada perjuangan. Ada sesuatu yang perlu dikorbankan. Ada sesuatu yang disayang harus ditinggalkan. Dalam pancingan, ada yang tewas dan ada yang menang. Jika ikan tewas, ia akan menjadi hiasan meja hidang mungkin. Jika ikan terlepas dan pemancing yang tewas, dia tentunya akan kecewa atau akan datang lagi menuntut kekecewaan dengan azam dan tekad yang baru. Dengan sedikit tambahan ilmu untuk menewaskan ikan lain kali ini! Ianya tidak tumpah dengan kehidupan. Kegagalan dalam sesuatu menjadi titik tolak untuk jalan memperbaiki......