07 December 2004

Semalam, Hari Ini dan Esok

Semalam,
api menjulang memanas alam
asap hitam mengelamkan pemandangan
langit jadi gelap
 
Sungai Euprates dan Tigris pun jadi hitam
darah mengalir bersamanya dakwat-dakwat ilmu yang hilang
piramid manusia di sana-sini
nyawa hanyalah mainan
bagai layang-layang di bawa angin dan dilepaskan
 
Iron Gate yang menjadi debu
adalah sumpahan Illahi!!
(Surah al-Kahfi; 98)
janji Illahi adalah tetap kebenarannya......
 
Hari ini,
api masih menjulang
anak-anak menangis kelaparan
kepala sudah tiada harga lagi
apatah lagi nyawa
 
Kemanusiaan sudah di telapak kaki
nilai kebinatangan menjadi anutan semua
 
Esok,
akan masih lagi sama
nyawa akan tetap jadi sandaran untuk kekuasaan
kebahagiaan duniawi yang tidak pernah terpancar
selagi jalanNya tidak dijejaki
 
 
"Celaka betullah Amerika ni! Sekarang dia nak serang Syria pulak...." seorang sahabat tetiba bersuara sedang yang lain asyik bermain "jimrami" malam itu.
 
"Kan memang dia cilaka. Kita nak buat apa?" seorang mencelah.
 
"Nak serang dia balik pun, senjata beli dari dia...." seorang lagi bersuara. Aku sedang menysun-nyusun daun-daun terup. Bercita-cita untuk "pot". Petang tadi, keletihan membikin jalan akses. Bergotong-royong membikin jalan akses dari perumahan ke jalan bandaran 4. Rakyat Malaysia yang membayar cukai di Pinggiran Putra nampaknya kali ini memang dipinggirkan. Jalan dibina cantik dan menarik dari Putrajaya ke Putrajaya hanya boleh dilalui dengan mata. Bukan dengan roda kenderaan. Jalan indah dari Putrajaya ke Putrajaya ini menidakkan penduduk Selangor yang dilingkunginya. Menidakkan penduduk kampung yang menandatangani penyerahan tanah dengan gantgi duit untuk pembikinan jalan ini. Mungkin di mata yang bertanggungjawab, duit adalah segalanya.
 
Petang tadi, Jumaat 3 Disember, bergotong royonglah dengan duit kutipan penduduk membeli simen readymix. Membeli papan playwood dan besi. Membikin jambatan simen dan jalan akses buatan sendiri tanpa konsultan dari mana-mana jurutera. Perjumpaan demi perjumpaan dan mesyuarat demi mesyuarat tidak mendatangkan hasil. Memang penduduk di pinggiran Putrajaya akan sentiasa terpingir perlu bertindak sendiri! Nilai cukai yang kita keluarkan mingkin tidak punya maksud!
 
"Bang Has.... senyap jer!" seseorang menegur. Bukan aku tidak mahu mencelah. Bukan aku tidak mahu memberi komen. Takut komen aku nanti tidak boleh diterima apabila pendengarnya tidak memahami asas dia. Takut komen aku terlalu mudah dan nanti hanya diketepikan sahaja. Takut komen aku juga terlalu komprehensif hingga tidak difahami. 
 
"Kalau Amerika nak serang Syria, apa kita boleh buat? Serang dia balik?" aku bertanya kembali. Menjawab pertanyaan dengan pertanyaan. Bukan sesuatu yang bijak. Lalu malam itu aku bercerita sambil berbincang. Sesuatu yang aku tahu. Walau sedikit....
 
Selamanya, orang Islam akan diperangi. Kalau pun bukan secara terus, ia akan tetap diperangi. Itu yang memang nyata. Kalau bukan oleh sesama manusia, syaitan akan tetap memerangi orang Islam. Yang kita kena lawan adalah syaitan. Syaitan itu yang bersenjata dan bermukim di "nafsu" kita. Nafsu bukan hanya tentang "itu".
 
Sekarang, orang lebih "bernafsu" untuk mengutamakan diri hingga menolak kepentingan umum. Amerika pun begitu jugak. Bernafsu untuk menguasai dunia yang punya kekuatan sendiri. Bila dibukakan pintu rezeki orang-orang Islam dengan hasil bumi yang boleh membawa keuntungan, kita dengan nafsu tertentu lupa bahawa itu adalah senjata yang terbaik untuk pembangunan Islam. Tetapi kita lupa. Tidak mempelajari apa yang boleh minyak itu hasilkan. Hasilnya, orang bukan Islam yang punya kepandaian menggunakannya untuk kepentingan mereka. Dan kita masih berada di belakang. Tidak mampu untuk menguatkan pertahanan sedang ilmu siasat peperangan juga satu tuntutan. Ilmu mempertahankan negara juga wajib kita tuntut untuk membolehkan kita sentiasa berada dalah kesejahteraan.
 
Sejarah telah membuktikan. Kalau kita baca Surah Al-Kahfi tentang Zulkarnaen, kita boleh kata siapa dia. Walau keberadaannya 400 tahun sebelum kelahiran al-Masih, kita percaya yang dia adalah seorang penganut agama Tauhid yang saleh. Diberikan ilmu dan kekuasaan hingga menguasai kedua-dua tamadaun, Barat dan Timur. Siapa di sebalik Ya'juj dan Ma'juj di dalam surah tersebut, kita tidak pelajari dari segi ilmiah. Mana tembuk yang dibina? Dan mana janji Allah yang Ya'juj dan Ma'juj akan merosakkan bila tembuk itu hancur menjadi debu?
 
Kita mungkin hanya mengiyakan bila media Barat mengatakan Alexander The Great sebagaimana mereka, seorang yang zalim, homoseksual dan pemabuk! Kerana kita burang berilmu, kita tidak dapat menyangkal dakwaan mereka. Apa yang mereka buat adalah benar kerana kita tidak berkemampuan menyangkalnya.
 
Bila kita kata kemasukan Monggol dan Tartar memusnahkan tamadun Ilmu Islam dulu adalah kejadian yang disebutkan dalam al-Quran, mungkin ramai yang tersenyum sinis. Begitu juga serangan-serangan pihak Amerika yang ada kaitannya dengan surah al-Baqarah ayat 120. Kita punya asas, punya ilmu pengetahuan tetapi tidak menggunakannya seperti yang disarankan. Kita lebih rela mengikuti telunjuk mereka. Maka itulah kita sentiasa diperkotak-katikkan oleh mereka.
 
Aku menyambung menyusun daun-daun terup malam itu. Meneruskan permainan "jimrami". Seorang Pak Haji yang sudah berumur yang kadang bermain sekali membenarkan hujah aku.
 
Esok pun kita akan tetap begini atau mungkin lebih teruk lagi sekiranya nafsu kita masih merajai diri! Kerana nafsu merajai diri, sejarah telah membuktikan pemimpin-pemimpin Islam yang terdahulu kehilangan kekuatan dan kekuasaan akibat ketidakpuashatian. Pertumpahan darah sesama sendiri sering sahaja wujud. Begitulah yang kini kita lihat di sini, di Iran, di Iraq, di Afghanistan dan banyak tempat lagi.......
 

Bila Selesai Hari Raya

Enaknya makan nasi berlauk ikan belukang masin masak lemak. Setelah berhari-hari anak tekak diisi dengan hidangan hari-raya yang masih lagi belum berakhir, ikan belukang masin pemberian seorang abang kaki pancing yang telah lama tersimpan akhirnya berenang di kuali.
Jarang sekali aku tambah nasi hingga dua kali!! Selepas makan, tersadai sebentar. Nyaris mata terlelap jika tidak diserang anak-anak kembar yang ingin main kapalterbang. Berebut-rebut meminta duduk dikaki untuk aku naikkan menjadi kapal terbang yang berlegar. Dan aku mengacah kapal terbang jatuh ke dada aku.......