22 July 2004


Dulu-dulu, keaktifan aku di sukan ini membulatkan tekad untuk maju....
(1983 - menentang Juara New Zealand : Ngaruwawahia High School. Tertewas : 28 - 29)

Rengekan Si Manja

"Nak puwok... nak puwok....." suara manja anakku yang kembar. Merengek-rengek minta dipeluki dan tidak membenarkan aku untuk bangun pagi.
 
"Jom bangun, ayah nak mandi.... ikut hantar abang pegi sekolah...." kata aku. Bergegas kedua-duanya yang di kanan dan kiriku bangun. Si kembar abang dan si kembar adik. Rutin biasa. Mandi, solat, tukar pakaian kerja, minum secawan kopi, dua biji telur separuh masak, sesudu madu dan dua tiga biji kurma. Anak sulung dan kedua sudah sedia. Sibuk mengira duit belanja yang diambilnya sendiri dari tempatnya. Entah berapa yang diambil dan dimasukkan ke dompet kecilnya, aku tidak begitu peduli. Aku percaya anak-anakku jujur.
 
Pagi ini harus segera sampai ke pejabat. TiVi-TiGa datang untuk penggambaran Money Matters. Wan Zaleha Radzi datang untuk interview. Untuk lihat bagaimana kami merekabentuk chip. Bukan chips more!!!! Hehehehehehe..... Chip intergrated circuit. Litar bersepadu.
 
Selepas itu, aku harus segera pula mempengerusikan satu mesyuarat tahunan. Management Review. Hari ini bakal sibuk buat aku..... Mungkin tidak punya waktu untuk makan tengahari. Sudah mengagak bahawa makan tengahari ini dengan nasi goreng kampung bersama telur dadar yang akan aku pesankan seseorang membelinya........ Malam tadi, tidurku jam 3:00 pagi. Berbincang hal korporat dan politik bersama jiranku di meja taman kecil, di halaman depan rumahku.
 

21 July 2004

Kau Mendewasakan Aku

Pandangan mata mu sejak sekian waktu adalah suatu yang mendewasakan aku. Bertahun dalam dakapan mu, aku menjadi dewasa, mengalir bersama titisan rindu.
 
Nanti aku akan bersatu, dalam satu mimpi........

Sepi....

Selepas tengahari.....
 
Mata ini sering sahaja menguncup..... mungkin kuah sup cendawan yang berminyak tadi membuat mataku jadi lemah! Arghhhhhh.... aku ingin lelap sebentar barang 10 menit sebelum menemuiNya.... 
 
zzzzzzzzzzzzzz...............................
 
 

Kepulangan......

Kepulanganku sering di nantikan. Anak-anak berlari mengejar. Isteri hanya memerhati dengan wajah riang di pintu rumah. Saat yang sungguh menggembirakan. Saat yang membahagiakan. Seorang menghulur tangan untuk tali leherku, yang sulung membuka pintu belakang untuk mengambil beg notebook ku, yang kembar merengek-rengek meminta ciuman seorang ayah.
 
Beratur anak-anak menanti ciuman. Setiap seorang, aku hadiahkan ciuman di kanan dan kiri pipi juga sebuah kucupan di dahi. Bermula kembar yang termuda, kepada yang paling tua.... Berjalan dipimpin tangan oleh anak kembarku, menghala ke pintu. Seorang isteri menanti. Yang juga minta ciuman. Tanganku di sambut dan diciumnya. Ciuman selamat pulang.... Dan aku menghadiahkan ciuman di pipi. Ciuman yang panjang. Di pipi kanan dan kirinya.
 
Ah..... Kopi kapuchino sudah menanti di atas meja. Membuka kasut, setokin dan setokin aku di sambut isteriku. Aku menghampiri meja di mana terletak secawan kopi kapuchino kesukaan aku. Hirupan dalam... melegakan!
 
Kepulangan ini, pintu satu kebahagiaan!
 
 

20 July 2004

Remaja oh Remaja

(3 Apr, 2002)

Mendengar ceramah agama sebentar tadi, aku cuma senyum-senyum. Membaca banyak artikel di relekjap, aku juga sering senyum-senyum. Kengkadang mendengar khutbah Jumaat pun aku senyum-senyum. Apa lagi bila dengar pakmenteri bercerita di kacativi, aku juga sering senyum-senyum. Bila topiknya "remaja masa kini".

Macamlah masalah remaja hanya berlaku masa kini sahaja.... Macamlah dulu-dulu masa dia orang remaja tak ada masalah sebegitu..... Macamlah tahun 60an remaja tak bermasalah...... Semua menuding jari. Bukan salah aku kata pakmenteri, itu salah pakar agama (Hasza tak kata ulamak sebab definasi ulamak ikut Hasza adalah "kumpulan orang alim atau berilmu") yang sibuk berpolitik. Bukan salah aku kata pakar agama, itu salah ibu-bapak. Bukan salah aku kata ibu-bapak, itu salah kerajaan. Bukan salah aku kata kerajaan, itu salah rakyat jelata (dibaca dengan intonasi raja es_ei_em_ai_vi_i_el_yu) kata kerajaan, itu salah aku. Kerana kerajaan adalah aku!!!! (definasi kerajaan pada pendokong demokrasi).

Aku senyum kerana aku pernah remaja. Aku senyum sebab warga relexjap pernah remaja (malah ada yang masih remaja). Aku senyum pun kerana ustaz-ustaz yang berceramah pernah remaja. Dan aku senyum kerana pakmenteri pun pernah remaja. Dan semua kata gejala sosial itu sebagai "masalah remaja" bukannya "masalah kita"!! Dan yang membuat aku lebih senyum, semua berkata tentang "masalah" itu. Tak ada yang bercerita bagaimana nak "membunuh" masalah itu.

Aku dengar dulu tahun 70an, banyaknya kisah minah karen, mat spanar. Saturday Night Fever saban minggu. Wild party saban malam. Tak percaya tanya minah karen zaman tu. Padang bola kat FIZ Petaling Jaya tu (sekarang Matsushita) bersepah dengan "belon" air. Flet kat seksyen 15 tu, jadi macam sarang pelacuran.
Aku dengar tahun 60an dulu cabaret bersepah di sana-sini. Nak cari orang bertudung waktu tu, keliling Malaysia tak boleh jumpa. Kalu jumpa pun taim nak pergi sembahyang kat surau atau masjid.Yang terbaik cuma pakai selendang kain batik. Akhir 70an baru nampak sekerat masyarakat bermini-telekong. Pun dicap "orang dakwah".

Nah.... Semua kata bukan salah aku. Habis salah siapa. Yang nampak tak mahu tegur. Yang tahu buat tak kisah. Yang bergesel bahu buat selamba. Aku nampak, itulah salahnya. Nak salahkan kerajaan? Buat apa? "Kerajaan kan aku!!!! Salahkanlah aku....." Kalaulah semua berpandangan begini. Maka aku percaya, masalah ini bukan lagi masalah untuk 10 tahun akan datang.

Apa yang aku nampak, kalau kita nampak kemungkaran, kita cuma diam. Takut nak tegur. Kalau tegur dan tak diterima terus marah atau give-up. Kalau tahu ada kemungkaran, tak nak baiki. Lebih cerita saja pada orang lain. Kalau cerita dilebih-lebihkan. Tambah itu tambah ini. Tapi kalau nampak kebaikan, ah.... buat apa nak ambik tau. Bukan untung apa-apa aku, itu yang terdetak dalam hati.Yang diberi kuasa (Hasza tak kata pemerintah, sebab yang diberikuasa bukan semua pemerintah), tidak amanah, tidak benar. Cakap lain buat lain. Lebih menyalahkan orang lain daripada tengkuk sendiri. Pakar agama tidak menasihat yang diberi kuasa dengan kebenaran. Lebih bercerita keburukan itu dan ini dalam ceramah-ceramah kepada umum daripada duduk semeja dengan yang diberi kuasa untuk menangani permasalahan. Jiran tak mahu tegur anak jirannya yang berkelakuan tak senonoh. Nak jaga hati konon. Ibu bapa tak nampak apa kesilapan anak-anak. Depan mata semua baik. Belakang....... dia tak tau.

Inilah penyakitnya. Orang banyak kata pasal penyakit ini. Tapi tak banyak orang kata resolusi untuk menanganinya. Bukan dengan rakan sukan, rakan muda...... Bukan kini sahaja. Tak percaya? Ingat balik zaman kita remaja dulu.......

Masalah remaja kini aku nampak macam barah. Bermulanya dari dulu.

Hasza sangat percaya kata-kata Allah dalam surah Al-Asr. Semuanya sudah diterangkan disitu bagaimana harus kita menangani permasalahan ini. Dengan KEBENARAN dengan KESABARAN. Kenapa kita mesti lari dari hakikat ini?
 

Pesan Atuk

(16 Jan, 2002)

Dulu, sebelum melelapkan matanya, atukku pernah pesan;
 
"Belajar pandai-pandai, biar jadi orang"
 
Aku mungkin kurang faham waktu itu. Terus belajar juga. Walau malam disinari pelita. Bila usia merentas waktu, aku nampak ramai orang macam hewan. Ada yang terkinja-kinja macam monyet di lorong-lorong, di disko-disko, di kelab-kelab malam. Baru aku tau makna pesan atukku. Baru aku dapat membeda orang dan hewan di kacamata atukku.
 
Atukku pesan lagi;
 
"Kerja betul-betul, jangan tipu, jangan meminta-minta"
 
Aku mula kerja umur 13 tahun. Menebas ladang getah milik Eng An. Untuk bekal sekolah di asrama. Bila kerja betul 12 tahun dulu, aku ikut pesan atukku. Kerja betul-betul. Sebagai engineer. Orang tanya keja apa, aku kata keja kilang saja. Orang ketawa. Belajar tinggi-tinggi, pergi obersea balik keja kilang. Aku ketawa juga. Apa salahke keja kilang ni kata hati.
 
Aku nampak ada orang belajar tak ke mana. Kerja tak seberapa. Rupanya rasuahnya di sini-sana. Rumah macam istana. Kereta ngalahkan raja. Ada yang keja ketuk orang saja. Tipu merata. Cuma nakkan harta. Orang susah duit mereka. Lintah darat ambik kesempatan orang saja.
 
Atukku pesan lagi.
 
"Cari rezeki yang halal, jangan bawa daging haram"
 
Aku cuba juga. Cari rezeki halal. Tak nak makan riba. Alhamdulillah sekarang banyak perbankan Islam. Tak nak curi tulang. Tak main nombor.
 
Aku nampak ramai orang mengular. Pukul 10:30 baru masuk keja. Patutnya tak ada gaji 2 jam tadi. Tengahari pergi shopping lagi. Boss suruh keja, dia chat depan PC. Bulan-bulan dapat gaji. Kompani sakit kena berenti. Ha.... apa sudah jadi. 
 
Ada lagi yang ngalahkan pak menteri. Kereta menjalar empat bini. Kontrak sana kontrak sini. Semua dapat sebab kroni. Ilmu tak seberapa, projek besar gila. Last-last, kompeni bengkerap, mintak bail-out pula.....
 
Apa sudah jadi........
 
Pesan atuk aku masih ikut lagi. Biar aku macam ini. Buat bisnes sendiri cari rezeki.
 

Selangor : Merealisasikan Cita-cita Masa Hadapan

Dalam kegemilangan pembangunan Selangor dan dalam melangkah ke arah Selangor Negeri Maju menjelang 2005, sesuatu yang penting untuk kesinambungan perkembangan ini tidak harus dipinggirkan.

Inisiatif yang baik dalam pembangunan material dan ekonomi di samping infrastruktur, beberapa yang menjadi tonggak masa hadapan juga perlu dititikberatkan. Beberapa yang penting yang boleh disebutkan adalah pembentukan belia dan remaja yang berwawasan, persekitaran yang kondusif, yang mesra pengunjung. Ini adalah dua fokus tulisan saya hari ini. Kedua-dua ini masih kurang kelihatan. Ini masih perlu dilihat dengan skop yang luas.
 
Dalam kederasan arus pembangunan, dilihat gejala negatif yang melibatkan remaja dan belia semakin menjadi-jadi dan kelihatannya terbiar. Bukan hanya sedikit, malah ianya luas meliputi beberapa perkara hingga mencetuskan jenayah kematian, seks bebas, pelesiran, pelacuran dan sebagainya. Beberapa persoalan ditimbulkan, apakah kerana sistem pendidikan atau sistem pengajaran? Soalan subjektif ini menghasilkan jawaban yang juga subjektif.

Tetapi yang nyata, pendidikan adalah berasal daripada rumah. Ini menjadikan EXCO Belia yang baru dilantik, Datuk Abdul Rahman Palil mungkin menghadapi masalah dalam melakukan satu anjakan paradigma untuk menyediakan satu lapisan belia yang kental dan punya jati-diri yang kuat. Mengharapkan hanya kepada PKN sahaja adalah tidak adil kerana bukan semua remaja yang menjangkau belia diserapkan ke program tersebut dan program ini bukanlah program yang berterusan untuk individu yang terbabit.

Sikap golongan dewasa dalam meletakkan remaja dan belia dalam masyarakat juga menjadi faktor peningkatan gejala negatif ini. Sikap golongan dewasa terutama kepimpinan masyarakat kecil seperti kampung dan desa, kadang sering menjauhkan remaja dan belia dalam aktiviti-aktiviti yang sihat. Analisa jurang (gap analysis) perlu dijalankan bagi melihat dan memahami kenapa ini boleh berlaku. Pemantauan menyeluruh aktiviti belia juga perlu dilakukan di samping sokongan yang berterusan bukan sahaja daripada kepimpinan kampung dan masyarakat kecil, malah juga pihak pentadbiran negeri. Ini kurang kelihatan dewasa ini.

Adanya golongan kepimpinan yang mengenepikan aktiviti belia juga amat sukar untuk diterima. Kemunculan belia kampung membuat sesuatu untuk masyarakat disifatkan sebagai seteru untuk bersaing. Ini adalah suatu contoh yang sangat dikesali dan perlu ditangani.

Penulis percaya fenomena ini berlaku di banyak tempat di Selangor. Ini menjadikan belia bertindak "keluar kampung" dan meninggalkan suasana kampung mereka terus dalam keadaan yang lambat menerima perubahan. Idea belia masa kini yang lebih menjurus kepada perubahan ke arah kebaikan dengan kadar yang segera menjadi satu cabaran kepada golongan dewasa untuk menerimanya.

Penulis percaya, Kerajaan Negeri Selangor dengan kredibiliti yang ada pada Dato' Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo sebagai Menteri Besar dan Datuk Abdul Rahman Palil sebagai EXCO Belia, mampu menangani masalah ini dan mampu membina golongan belia yang berwawasan dan bergerak ke hadapan kearah Selangor yang Gemilang, Cemerlang dan Terbilang. Remaja dan belia negeri adalah tapak untuk mendirikan struktur yang kukuh. Jika tapak ini lemah, jika asas ini goyah, walau apa juga struktur yang dibentukkan di atasnya, akan turut runtuh.

Daripada aspek kedua yang penulis ingin ketengahkan adalah suasana pembangunan yang kurang seimbang dikebanyakan perbandaran baru. Isu lama berkaitan dengan tempat meletak kereta dan keceriaan kawasan masih belum dapat diselesaikan.

Kita lihat tempat-tempat yang bernama besar seperti Cyberjaya, Subang Jaya, Puchong, Kelang dan beberapa lagi. Masalah kesesakan dan tidak kecukupan tempat meletak kenderaan menjadi masalah yang mencacatkan. Walau usaha banyak dilakukan untukmengindahkan kawasan, jika suasana meletak kenderaan masih ditahap lama, ianya mencacatkan pemandangan dan juga emosi pengguna.

Cyberjaya adalah satu tumpuan. Cyberjaya adalah bandar teknologi IT yang dilaung-laungkan. Jika tiga tahun yang lalu, ianya masih boleh disebut sebagai tempat "jin bertendang", kini jalanraya menjadi tempat meletak kenderaan. Terminal bas juga tidak dapat menampung pelanggan yang datang untuk menjamu selera terutama di tengahari.

Adanya operator tempat meletak kenderaan swasta di tempat yang baru dibangunkan tetapi tidak menyediakan sistem yang baik dan servis yang sempurna hanyalah menyakitkan dan mengundang emosi yang negatif. Ini boleh menjadikan suatu tempat ditolak untuk menjadi pusat dagangan yang bagi organisasi yang bertaraf antarabangsa.

Idea untuk menjadikan Selangor sebuah negeri maju menjelang 2005, akan tercacat akibat dua perkara ini.

Kesinambungan pembentukan pembangunan yang dibinakan akan hilang. Kepimpinan yang akan datang, masih banyak boleh dipersoalkan.

Mampukan mereka menangani masa depan yang datang terlalu pantas?
 

Belia : Antara Impian dan Realiti

"Program belia patut pupuk budaya cemerlang.
 
SEMUA program pembangunan belia perlu dirancang bagi mencungkil potensi serta memupuk sifat mulia dan budaya kerja cemerlang di kalangan generasi muda."
 
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata ini sejajar dengan hasrat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyuntik budaya baru menerusi slogan ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’.
 
Katanya, slogan itu bukan kata-kata kosong, sebaliknya menetapkan budaya kerja baru yang bertujuan mengubah masyarakat terutama generasi muda supaya menjadi penentu zaman, bukan sekadar penonton semata-mata.
 
“Harapan Perdana Menteri untuk mewujudkan budaya ini adalah sesuatu yang realistik. Yang akan menjadi kayu pengukur pencapaian ini bukanlah bangunan yang tersergam indah, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi atau prasarana yang hebat, tetapi belia yang menjadi generasi pewaris kepemimpinan negara." - bharian online, 14 Mei, 2004.
 
Terasa sejuk bila membaca berita tersebut. Terasa gembira dan seronok yang bukan kepalang. Harapan warga belia seperti saya adalah sangat tinggi agar apa yang tertuliskan akan tercapai dengan sempurna dan membantu ke arah kecemerlangan yang berkekalan. Saya sendiri mempunyai cita-cita yang sama dengan YAB Perdana Menteri dan juga YAB Menteri Besar Selangor.
 
Saya sangat berbangga punya dua orang pemimpin negara dan negeri yang punya pandangan yang sebegini! Lebih-lebih lagi MB kita yang juga dalam usia belia! Menyedari kepentingan sumbangan warga belia ke arah pembangunan yang mantap, kita seharusnya menyokong saranan ini. Apa yang menjadi realiti dewasa ini adalah sesuatu yang sebaliknya. Belia yang bergerak aktif, biasa sahaja dianggapkan menjadi saingan kepada organisasi-organisasi lain seperti organisasi siasah, badan-badan tertentu dan juga kepimpinan masyarakat seperti JKKK dan sebagainya. Persepsi yang negatif kepada warga belia adalah sesuatu yang sangat dikesali. Ini tidak memberi apa-apa manfaat kepada masyarakat keseluruhannya.  Sedang masyarakat yang kecil begini tidak menerima manfaatnya, apatah lagi sebuah negeri dan sebuah negara! Negara terbentuk dari beberapa buah negeri, dan negeri terbentuk daripada beberapa buah daerah dan seterusnya sehinggalah kepada elemen yang terkecil iaitu diri kita.
 
Nah! Organisasi yang terdekat yang melibatkan kemasyarakatan bukankan sebuah kariah atau kampung? Yang bisa sahaja menyumbang kepada kecemerlangan negeri dan negara? Rata-rata warga belia (mengikut pengamatan saya) tidak mendapat sokongan yang sewajarnya daripada pemimpin masyarakat setempat. Dari ketua kampung dan seterusnya. Ini perlu dibenteras. Ini perlu dibuang. Sikap yang sering menganggap organisasi belia menjadi saingan adalah sepatutnya dibuang jauh-jauh.
 
Jika sesuatu tidak diusahakan bagi menangani masalah "kecil" ini, ianya akan menjadi besar. Membengkak dan meletup memusnahkan diri kita sendiri. Impian pemimpin-pemimpin kita ini, cita-cita murni ini, harapan ini hanyalah akan menjadi mimpi. Yang nanti akan dikesali!
 
Saya sangat terhibur bila teringat pada tahun 70an bila Belia 4B sering menjadi satu organisasi yang mempelopori aktiviti-aktiviti yang sihat. Ianya kini hanya menjadi sebagai satu "impian yang sirna". Hanyanya ketika itu, penulis masih terlalu kecil untuk mengenal dengan dalam!
 

Iraq, Dunia Islam dan Malaysia....

Saban hari berita-berita dunia dan tanahair bercerita tentang Iraq, Palestin, Afghanistan dan sebagainya. Berkait tentang keadaan orang-orang Islam yang dianiaya, diburu dan dibunuh bagai binatang perosak..... Daripada pembunuhan beramai-ramai, pemusnahan petempatan, letupan-letupan bom yang ditujukan untuk memusnahkan individu-individu yang menjadi sasaran kepada pencabulan kepada tahanan-tahanan.
 
Tidak cukup tahanan perang Afghanistan, kini terbaru adalah tahanan Iraq!
 
Apakah ini akan berterusan dan ke mana selepas ini? Kenapa ini boleh berlaku? Apakah yang kita lakukan?
 
Persoalan demi persoalan dilayangkan bagai pengadil perlawanan bola melayangkan kad kuning dan kad merah dalam perlawanan bolasepak yang ganas!Satu demi satu negara yang membawa nama dan unsur Islam menjadi mangsa. Bermula dengan Turki di awal abad ke duapuluh, kita melihat beberapa negara menjadi mangsa. Yang kelihatan jelas negara seperti Iran, Iraq, Afghanistan, Bosnia dan Palestin adalah antara yang menjadi liputan besar dan telah menjadi pengetahuan umum. Semuanya disebelah sana dunia. Di "tengah-tengah dunia" jika kita umpamakan di sini sebagai Timur dan Eropah dan Benua Amerika sebagai Barat. Middle world!! Dunia yang sentiasa bergolak. Sejarah memang telah membuktikan. Bukan hanya sejarah yang tertulis oleh ahli-ahli sejarah masa kini, sejarah juga dituliskan di dalam kitab-kitab lama seperti Taurat, Injil.
 
Sejarah tersebut juga tertuliskan di Al-Quran, kitab yang menjadi sandaran kehidupan kita!! Dan sering dalam Al-Quran tertuliskan, "Kepada orang-orang yang berfikir....", "Apakah kamu tidak memikir...", dan banyak lagi yang menyuruh kita memikir dan mempelajari. Sejarah juga sesuatu yang perlu kita pelajari!
 
"Apakah kita memikir?", itu adalah satu persoalan yang kita sendiri tidak mampu menjawab!Kita lihat dalam sejarah, persengketaan membawa padah. Bukan kecil, malah besar yang melibatkan ratusan ribu nyawa, kemusnahan berskala besar, dan masa depan yang gelap. "Apakah yang kita fikirkan?" Bilamana kita melihat perkara tersebut berlaku lagi di depan kita? Kesedaran apakah yang kita dapat melihat peristiwa-peristiwa itu berlaku? Kita masih bertelagah sesama sendiri? Membenarkan diri sendiri, mengIslamkan diri sendiri, walau kenyataannya apa yang dilakukan hari-hari adalah menyimpang dari ajaran Islam itu sendiri? Mengajar anak-anak bahawa Islam melarang mengumpat... tetapi itulah praktik harian!! Fitnah adalah dilarang tetapi itulah senjata harian yang diguna untuk menagih simpati dan mendapat sokongan! Tidak cukup di pentas-pentas yang bertopeng "ceramah agama", ianya juga dirakamkan dan mainkan berulang-ulang dikhalayak, di pasar-pasar malam, di majlis-majlis perkahwinan dan sebagainya. Ini berlaku dan setiap hari ini berlaku!!
 
Dalam kita menyorakkan untuk keamanan sejagat, ada kalangan kita sendiri yang menidakkan usaha kita. Bersekongkol dengan musuh-musuh kita. Menjemput musuh-musuh kita malah musuh bangsa Islam nomor 1 masa kini bagi mengganggu ketenteraman kita. Gah dan bangga bilamana pemimpin negara luar yang terang "menidakkan bangsa Islam sebagai manusia" ini menyokong aktiviti liar di jalanan!! Menjemput untuk membantu mengadili yang kononnya kita tidak telus dalam pemilihan kepimpinan negara!! Perkataan orang-orang kuffar lebih dipercaya dari kata hati sendiri....Ah.... ada-ada sahaja. Memang, antara kita, ramai yang lebih suka kepada yang dilarang! Ramai antara kita yang tidak memikir. Walau bergegar-gegar mengatakan Al-Quran sebagai Perlembagaan!! Kenyataan perlakuan, yang menyimpang dari suruhan dan larangan yang terkandung di dalamnya!
 

Ke Arah mana Belia Negara Perlu Di Bentuk?

Bila kerajaan melakukan sesuatu yang agak radikal dalam membentuk remaja dengan Khidmat Negara, implementasinya menjadi tanda soal yang besar. Banyak suara-suara ketidak-fahaman kepada program ini.
 
Persoalannya : Ke arah mana kita perlu bentukkan belia negara kita?

Adakah ke arah "semangat kesatuan perkauman" sahaja seperti yang digembar-gemburkan oleh media (terutama tivi-tiga dengan wawancara dengan peserta?) atau sebenarnya membentuk belia yang berwawasan.

Pada pandangan penulis, belia negara perlu dibentukkan ke arah sesuatu yang mencabar dan mampu membina sesuatu yang terbaik untuk masyarakat tempatan. Kesatuan antara belia perlu dilihat daripada pandangan yang fokus kepada beberapa elemen.

1. Pembangunan Ilmu dan implementasinya

Ini perlu kerana tanpa implementasi Ilmu, kita hanyalah pengikut kepada rentak pembikinan wajah baru dunia oleh barat. Yang kita tahu, lebih kepada sesuatu yang meruntuhkan akhlak dan budaya tempatan. Membunuh fikrah Islami (dibaca pemikiran Islam). Kita lihat dengan peradaban baru yang diterapkan oleh barat hingga benar-benar menghapuskan nilai kesopanan dan kesucian agama Islam.

Budaya barat yang begitu cepat menjalar tanpa kawalan sangat ditakuti merosakkan generasi baru dan melumpuhkan kekuatan bangsa kita. Nanti, kita hanya akan menjadi kadir-kadir barat bila asas kekuatan Ilmu itu jauh daripada hati-hati kita. Media yang terlalu memomokkan budaya barat melalui iklan-iklan juga program-programnya begitu menakutkan. Mungkin sesetengah kita berfikiran itu sesuatu yang baru. Yang perlu kita cabar, tetapi Ilmu untuk mencabar arus ini tidak diterapkan dengan lebih berkesan.

Selepas satu, satu lagi perkara baru muncul yang menakutkan. Dari bohsia-bohjan, black-metal, dadah-dedah, pesta seks, gangsterisma, buli dan entah apa lagi selepas ini.

Ilmu dan penerapannya adalah penting. Sistem pendidikan awal sangat penting di samping penerapan aktiviti sihat belia remaja bagi mengatasi masalah yang sebegini. Kementerian yang dipertanggung-jawabkan kelihatannya hanya memfokuskan hanya kepada sukan! Tidak kelihatan dengan jelas prinsip dan gerak kerja bagi mendekati program-program pembentukan belia yang ilmuan, yang menjana minda bagi menjadikan masyarakat kita sebuah masyarakat yang harmoni tanpa masalah-masalah sosial. Ini suatu yang sangat luas untuk diperkatakan. Budaya kekeluargaan, persekitaran, dan sebagainya perlu diambil kira.

2. Pembangunan Kerohanian
 
Apabila bercerita tentang kerohanian, kita sering melihat ianya berkisar tentang keagamaan. Tentang syurga & neraka. Tentang hukum-hakam. Kadang kita menolak pemakanan dan etika pengurusan diri penting dalam kerohanian. Kebersihan juga penting dalam kerohanian. Kepercayaan yang jitu terhadap prinsip beragama tidak benar-benar diterapkan. Antara dosa dan pahala. Antara dunia kini dan dunia sesudah mati. Penulis beranggapan bahawa ini adalah suatu yang sangat penting. Ketaqwaan kepada Allah (belia Islam) adalah sangat penting. Kita perlu diterapkan bahawa keTaqwaan itu adalah sangat penting. Bahawa sesuatu yang salah, memberi sumbangan negatif dan boleh menarik kepada hujanan bala. Bukan hanya kepada diri sendiri, malah masyarakat keseluruhannya. Penulis bukanlah meminta suatu kelompok belia itu berjubah dan berserban. Berjalan dengan tasbih sambil mulut komat-kamit. Kita perlu faham dengan sebenarnya apakah yang belia kita benar-benar insaf bahawa sesuatu yang dilarang itu "wajib" ditinggalkan. Bahawa tanggung-jawab "wajib" diselesaikan. Itu adalah amanah! Nanti, belia-belia remaja ini insyaAllah akan mampu menjadi pemimpin-pemimpin yang bersih dan dihormati. Bukan pemimpin-pemimpin "korup" yang menjaja diri dan nama dimedia-media.
 
3. Pembangunan Jati Diri
 
Suatu kekuatan bergantung juga kepada kakuatan diri. Sifat ketahanan diri dari menerima tujahan permasalahan. Mampu mengenali diri untuk mengenali bangsa kita. Bahawa kita masih jauh. Masih perlu meningkatkan keupayaan diri dalam perbagai cabang Ilmu. Kenali diri, kenali asal-usul diri kita akan menginsafkan. Apakah bapa kita dari golongan bangsawan? Dan jika benar, apakah tiada golongan bangsawan yang "kehilangan" segala-galanya kerana salah pembawaan diri? Apakah kita dari golongan yang miskin dan hina satu ketika dulu? Dan keberjayaan kita menjadi kita perlu dilupakan? Ramai antara belia remaja masih kabur tentang siapakah diri mereka. Ke manakah arah perjalanan mereka. Dan siapakah asal-usul mereka....Pencarian mereka perlu di isi.
 
4. Pembangunan Sosial
 
Belia Amat jarang kedengaran aktiviti kemasyarakatan dikendalikan oleh golongan belia. Dan amat jarang kelihatan di media (selain berita-berita belia berpusu-pusu ke konsert) aktiviti belia mendapat tempat di mata masyarakat. Kita perlu fokuskan ke arah ini. Kita perlu menyumbangkan tenaga kita dan mungkin wang ringgit kepada pembentukan sosial yang ulung dalam peringkat belia remaja.
 
Kita lihat dan kita sedar bahawa minat belia masa kini bertukar arah. Akibat daripada lonjakan teknologi. Semakin tidak kelihatan remaja dan belia mendekati aktiviti sosial yang berteraskan kepada kebudayaan tradisional. Sudah jarang ada belia mampu membina wau, gasing dan sebagainya. Apatah lagi bermain guli atau konda-kundi. Apakah perlu kita membuat anjakan paradigma dengan menerapkan teknologi dalam permainan kebudayaan tradisional ini? Amat jarang kelihatan golongan muda beramai-ramai bergotong royong melaksanakan aktiviti sebagai contohnya, pembersihan kampung, masjid, dan sebagainya. Jika dahulu, seringkali ada aktiviti yang dikelolakan oleh Belia 4B Malaysia. Kini.... ianya layu. Hampir tidak kelihatan!! Malah laman web Belia 4B Malaysia juga mati!! (http://www.4bmalaysia.com.my). Ini sangat menyedihkan. Satu organisasi belia terbesar, layu tanpa kelihatan wajahnya.
 
5. Pembangunan Ekonomi
 
Kalau dahulu, banyak aktiviti-aktiviti belia menjurus kepada aktiviti ekonomi, kini ianya juga seakan mati. 30 tahun dahulu, terbentuk banyak RTB (rancangan tanah belia), projek pertanian, dan sebagainya atas nama belia. Kini, semuanya hampir layu dan mati. Tidak kelihatan. Ekonomi adalah penting dalam mengumpul dana bagi pembentukan aktiviti sihat lainnya. Ekonomi adalah penting bagi menaikkan taraf pemikiran belia negara. Ekonomi adalah senjata yang kuat bagi meletakkan belia bangsa kita ke satu tahap yang lebih di segani. Bantuan khidmat nasihat dan suntikan modal kepada aktiviti ekonomi ini perlu. Kerajaan melalui kementeriannya seharusnya melihat ini sebagai satu peluang bagi membentuk masyarakat masa depan yang berwawasan.
 
Lima elemen di atas, yang penulis kupas secara ringkas, perlu diteliti dan ditangani di peringkat yang lebih tinggi. Kerana, kini kelihatannya kem-kem bina negara seluruh negara seperti sepi...... Kita tidak mahu belia-belia kita berpusu-pusu ke stadium untuk menonton beliawanisnya berpakaian tidak sopan menyanyikan "we will we will rock you" dengan di taja oleh PEPSI. Dan kita tidak mahu belia dan beliawanis kita berpelesiran, berpelukan di medan-medan awam dengan di taja oleh "Chop!! Coca Cola" seperti yang ditayangkan oleh media televisyen!!!!
 
Itu adalah iklan perosak bangsa dan boleh dibakul sampahkan!! Kerana ianya membentuk sampah!!!!