05 August 2004

Kerang Rebus, Kerapu Bakar dan Aku!!

Bersalaman dengan beberapa pegawai JPN termasuk Ketua Pengarah, Datuk Wan Ibrahim selepas makan tengahari. Sepanjang makan tengahari selama hampir satu jam, aku bersama Datuk KP dan Pengarah JPN negeri Kedah. Berbual kosong dan teknikal tentang kad pintar. Tentang implementasi aplikasi kad pintar. Tentang "implant", tentang "peeling", tentang ATR, PC, PVC, APDU dan berbagai perkara yang cukup fokus kepada kad pintar. Di akhir perbincangan, KP bersuara;

"Saya ada kad En. Has ya. Senang nak hubungi. Nak dengar lagi. Nanti saya panggil En Has ke pejabat saya!" Hati aku melonjak! Serentak itu juga, aku mengajak KP membuat lawatan ke pejabat aku di Siberjaya. Boleh aku tunjukkan bagaimana 500,000 lebih transistor di susun di atas silikon yang bersaiz 4 x 4 mm untuk menjadi satu peranti yang pintar!!

Sudah banyak yang aku skor. JPN, KDN, JPM, Kementah, ..... InsyaAllah, langkahku akan lebih panjang. Mengimplementasikan Ilmu untuk kesejahteraan sejagat!!

Malaysia perlu sedar dan orang Malaysia perlu disedarkan! Bukan omongan kosong di kedai kopi. Bukan kritikan basi di email-email! Bukan komplen-komplen sahaja tanpa "proses merealisasikan" yang baik bagi membaiki apa yang dikomplen! Ramai yang sesat dalan hutan bicara alam! Sekonyong-konyong semuanya mahu menjadi ustaz, pada waktu yang lain semuanya mahu menjadi politikus, sedang mengajar anak 1 + 2 = 2!!! Kita perlu berubah untuk merubah.

Teksi-teksi beredar. Tinggal aku sendirian lalu aku masuki sebuah teksi.

"Pantai Cenang Pak Cik!" kataku pada pemandu teksi. Aku duduk bersandar, lekatkan kepingan kacamata hitam pada kacamata aku yang sedia aku pakai. Letakkan topi ala Al-Pachino dalam Godfather di kepala dan aku bersandar. Cuba lelapkan mata tetapi tidak berjaya. Kotak fikiran menerawang berbagai-bagai. Amat sering kamera kepala aku memberi gambaran anak-anak di rumah. Ibu kepada anak-anakku!

Pantai Chenang bukanlah pantai yang aku harapkan. Terlalu banyak "dugong merah" berjemuran. Lalu aku menyusuri pantai Chenang dari Sandy Beach Resort dan terus menghala entah ke mana. Berpatah balik dan istirehat di Viva Watersport. Berbual-bual di situ. Berkenalan dengan orang-orang di situ. Aku pintakan sebiji kelapa muda dan mula berbaring di satu kerusi/pangkin rehat di bawah satu payung. Cuba melelapkan mata. Tidak berselera untuk berenang. Aku pun memakai pakaian yang tidak sesuai untuk berenang. Memakai kemeja-T SMSS Alumni dan seluar panjang. Hanya ingin berehat hingga kedengaran laungan azan Asar! Mengadap Illahi di surau AB Motel, aku kemudiannya menyambung santai ku, menyambung menghirup air kelapa muda sambil memerhati beberapa orang Pak Arab kegembiraan bermain para-sailing! Payung terjun yang ditunda bot! Tidak aku sedar, mata aku terlelap didendangkan lagu deburan pantai dan irama raggae yang aku minati di sebelah Viva Watersport!

Langit sudah merah bila aku tersedar. Matahari sudah hampir bersembunyi. Aku bangun bila matahari sudah benar-benar menghilangkan diri. Aku bangun untuk membayar sewa tempat aku terlena tadi dan sebiji kelapa muda tetapi di tolak. Viva Watersport menolak pembayaran yang aku kira sebanyak RM 9! Terima kasih! Nanti, cuti sekolah nanti, aku akan sewa bot dan jet-ski di sini bersama keluarga aku. Nanti aku datang lagi bersama keluarga aku. Lalu aku berjalan lagi ke surau AB Motel sebelum membuat tempahan chalet di Sandy Beach yang mengadap ke pantai untuk aku sekeluarga gunakan semasa cuti sekolah nanti.

Aku berjalan ke restoran Alia. Sehidang kerang rebus, seekor kerapu bakar, dan semangkuk tomyam udang menjadi hidangan aku malam ini. Sendiri!

Selesai makan, aku tahan sebuah teksi untuk membawa aku kembali ke City Bayview bagi membuka notebook dan menulis tulisan ini.......

City Bayview, Langkawi

02 August 2004

Mengantukkkkk..........


Perjalanan ke KLIA seperti terlalu cepat! Bila pemandu sudah tahu jalan yang nak di tuju, aku langsung terlelap. Maklum, sudah lebih 30 jam mata tidak terlelap. Hehehehehe......

Bermula dengan Sabtu pagi. Hantar isteri ke stesen LRT Sg Besi. Anak-anak aku bawa berjalan-jalan ke Putrajaya. Ambil kesempatan anak-anak aku langsung ke San Francisco Coffee. Spageti Bolognese dan Black Forest Cake. Aku cukup hanya dengan Latte. Hampir Asar baru isteriku menelefon dan segera dari Putrajaya ke stesen LRT Sg Besi. Sesekali aku lepaskan isteriku berjalan dengan adik-adiknya. Shopping sakan di KL! Aku bukan orang jenis shopping..... lalu menolak untuk "jalan-jalan beli barang!"

Malam, ada perlawanan badminton. Selesai hingga lewat malam. Bersambung meeting tidak rasmi Belia 4B dan projek. Aku meninggalkan amanat sementara seminggu aku bakal tidak ada di situ. Selesai lewat jam 3 pagi. Pulang ke rumah, di tahan pasukan peronda perumahan dan bincang keselamatan dsb hingga 4:30 pagi. Sampai rumah dah terlalu lewat untuk tidur. Jam 6 perlu ke Port Kelang, jemputan Bank Rakyat untuk pertandingan memancing. Jam 6 petang perlu bergegas untuk ke KLIA bagi menghadiri konference di Langkawi!

Justifikasi untuk aku punya 28 jam sehari!