11 January 2005

Kadang Kita Cepat Sangat Melatah

Pagi ini ketika membuka Microsoft Outlook, ada lebih 30 e-mail yang berkaitan kerja memasuki mailbox. Tapi rupanya ada beberapa yang menyesat. Bukan berkaitan kerja, tetapi satu latahan berikutan kejadian tsunami baru-baru ini. Satu daripadanya mengepilkan gambar yang katanya tsunami yang diambil dari satelit.

Itu latahan yang pertama. Aku buka dan amati gambar tersebut. Ingat-ingat apakah ini bentuk mukabumi di kawasan yang dilanda tsunami? Lain benar rupanya. Pusaran berwarna putih dengan lubang ditengahnya jelas kelihatan di lautan. Kawasan daratan juga ada yang sudah memutih. Baru aku teringat bahawa itu adalah gambar mukabumi Florida dari satelit. Benar ianya dari satelit!! Hanya latahannya yang membuat kecewa. Seolah-olah benarlah itu tsunami!!

Bagi yang berfikir dan yang melihat dengan ilmu, tentunya krim kepalanya akan menerawang mencari kebenaran apakah di sebaliknya. Ianya adalah gambar puting beliung atau disebut juga sebagai tornado di barat. Tornado yang melanda pantai Florida tidak lama dahulu. Tiada kaitan langsung dengan tsunami. Hanya kita yang suka menggembar-gemburkan menjadi satu yang sangat besar. Hingga lupa, pemikiran yang Al-Khaliq berikan hanya diletakkan di bawah telapak kaki.

Kadang bencana yang Allah turunkan bagi peringatan kepada kita tentang kekuasaannya digunakan sebaiknya oleh anasir yang mengaku Islam tetapi meletakkan orang Islam sebagai orang-orang yang tidak berfikir. Kehebatan kekuasaan Allah bukan hanya boleh dilihat dengan begitu sahaja. Malah yang tersembunyi juga terlalu banyak.
Nah!! Ilmu yang Dia berikan dengan memberi ilham kepada pembuat masjid-masjid yang utuh dan gagah. Strukturnya yang bukan hanya cantik, malah gagah berganda-ganda daripada bangunan komersial biasa. Itulah kekuasaanNya yang perlu kita fikirkan. Bagaimana para jurutera, arkitek dan pekerja binaan dalam membinakan rumah ibadat ini sehingga tidah goyah oleh hentaman bah yang datang dari laut yang deras dan kuat. Bagaimana susunan bangunan yang menjadikan laluan bah itu melalui jalan-jalan dan tidak menghentam terus bangunan masjid sehingga ia gagah berdiri malah menjadi tempat perlindungan.

Cuma kita yang lupa menilai ini daripada sudut pandangan lebih berilmu walau ilmu yang Dia pinjamkan kepada kita perlu digunakan untuk kebaikan dan kesejahteraan. Bukannya menerapkan semangat ketakutan semata-mata, tetapi memberi keinsafan kepada kita betapa besarnya kekuasaanNya!