01 February 2005

Netherlands on Netherlands (1) - Hampir Aku Tersesat

Dua belas jam perjalanan memang membosankan. Apatah lagi 12 jam perjalanan malam. Masa untuk tidur juga berlebih-lebihan. Aku mula membuka notebook untuk melihat-lihat kerja-kerja yang mungkin boleh aku lakukan. Pramugari yang comel manis segera menghampiri aku dan menawarkan secawan kopi. Senang hati aku menerima.

Kepala aku masih di
Kolam Pancing Fifofo. Sedikit kerisauan walau aku percaya orang-orang yang aku tugaskan untuk menjalankan kerja-kerja sepeninggalan aku boleh melakukannya.

5:55 pagi waktu tempatan ak sampai di Lapangan Terbang Schiphol, Armsterdam. Suhu yang dihebahkan tidaklah sesejuk yang aku dapati dari internet. Suhu ketika itu Cuma 5 darjah C. Bukan di bawah paras beku. Aku menarik lega.

Lapangan terbang agak lengang. Hanya satu penerbangan sahaja yang mendarat. Selepas mengambil bagasi, aku disambut ramah oleh pegawai imigresen. Ucapan “selamat pagi”, “bagaimana penerbangan”, “apa khabar”, keluar dari pegawai tersebut. Membuat sedikit kejutan dan menenangkan aku. Tiada masalah langsung. Tidak seperti memasuki Amerika dahulu! Sengaja aku tidak meminta limo hotel untuk mengambil aku. Juga sengaja aku tidak mahu sesiapa menjemputku. Ini satu pengalaman baru. Pengalaman yang pertama menjejak kaki ke negara kincir angin ini. Negara yang punya teknologi pertanian yang tinggi. Negara yang menjadi guru kepada banyak negara dalam pertanian.

Aku lebih senang berusaha sendiri untuk mengenali budaya. Lalu aku ke kaunter pertanyaan. Aku tanyakan bagaimana untuk ke Mecure Hotel di Nijmegen. Lalu dengan ramah, yang bertugas meminta aku ke kaunter tiket berdekatan. Aku ke kaunter tiket. Bertanya arah sambil ingin membeli tiket keretapi. Aku diberikan tiket 17 EURO dan sehelai kertas arahan. Dari Schiphol, aku perlu mengambil track 1 untuk ke Duivendrecht, iaitu “3rd stop” katanya. Dari Duivenrecht, aku perlu pula ke track 8 untuk ke Nijmegen.

Aku segera ikuti arahan tersebut. Menaiki keretapi dua tingkat dengan membawa bagasi bukanlah satu yang menyelesakan. Untung ketika itu tidak ramai penumpang kerana di awal pagi. Di “3rd. stop”, aku turun untuk ke track 8. Bila keretapi datang, aku langsung masuk ke track 8. Yang menghairankan, keretapi ini tiada penumpang lain. Hanya aku seorang. Mengikut jadual, 7:23 pagi dia sudah bertolak, lama aku tunggu masih belum juga bergerak! Hingga 7:45 pagi, aku harus mengambil keputusan. Lalu aku keluar dan bertanya seseorang…..

Oh!!!! Ini bukan Duivendrecht! Ini Amsterdam Sentral…… Ah! Lega. Jika tidak, tidak tahu ke mana aku akan menyesat! Maklum, dibumi yang bahasanya tidak aku fahami. Mujur penduduknya ramah-ramah belaka. Malah ada yang menegur aku dengan ucapan
“selamat pagi!!”

Nijmegen


www.geocities.com/bekalimas/fifofo.html
Sesiapa yang kaki pancing, bolehlah mula singgah-singgah. Bawak joran sekali pun tak nyesal......