11 June 2005

Menuju Dewasa.... Anak-anakku....

Sekawah "ayam kalkun" masak kicap, sekawah ayam kampung masak rendang, sambal goreng, sepuluh hidangan ikan leekoh bersambal spesel, seperiuk besar 4.5 gantang beras nasi wangi berpandan!!

Itulah harga peluhku hujung minggu ini. Sebuah kenduri untuk dua orang anak-anakku yang "hilang" pucuknya!

Perjalanan menjadi dewasa! Satu lesen untuk berkata "aku sudah bujang!!".

Si abang tersengeh-sengeh kesakitan bila aku cuba membuka "smart clamp" yang menutup "pucuk"nya.

08 June 2005

Perjalanan Ke Mentari Terbit (4)

4 April, Hari Isnin. Bermula hari yang baru selepas hujung minggu di bumi mentari terbit ini. Awal pagi, jam 7:30am aku sudah bersedia. Harus berkumpul di lobi hotel awal pagi untuk mengejar Shinkansen ke Kumagaya, satu kawasan di Saitama Prefecture, tempat aku menetap selama 5 tahun kira-kira 16 tahun yang lalu. Saitama, satu negeri perkampungan, "inaka" kata orang-orang Tokyo yang bermaksud "kampung" dan itulah yang aku inginkan. Itulah yang aku gemari berkaitan dengan Japung. Suasana kampung tradisionalnya cukup menarik minat aku sedari dulu lagi.

Selepas bersarapan pagi di lobi hotel, segera berlepas ke Tokyo-Eki untuk menaiki Shinkansen. Di Tokyo Eki, tidaklah berapa sibuk pagi itu. Kebanyakan platfom sudah mulai lengang kerana jam sudah melebihi pukul 9:00 pagi. Rata-rata para pekerja sudah memasuki perut-perut bangunan tinggi atau di mana-mana sahaja untuk menghabiskan waktu sepanjang hari. Tidak berapa lama lagi, platfom-platfom ini akan disinggahi oleh "obasan-obasan" yang keluar bershopping. Masa begini, suri-suri rumah lebih banyak keluar sesama mereka untuk "berbelanja tetingkap" (ungkapan yang baik untuk window shopping?).

Sampai di platfom Joetsu Shinkansen, setiap kami diberikan tiket. Toki 401, itu nama Shinkansen yang akan dinaiki. Jam 9:29 pagi akan bertolak. Daripada Tokyo, ke Ueno, Omiya dan ke Kumagaya. Shinkansen yang agak selesa. Perjalanan kelihatannya perlahan, tetapi kenyataannya ianya memang laju. Tidak tahu aku berapa laju ianya meluncur di sepanjang merentas perbandaran dan ke perkampungan. Daripada kawasan yang padat dengan rumah-rumah, hingga saujana mata memandang ladang-ladang dan sawah-sawah padi. Nampak indah bila melalui kawasan perkampungan di Saitama. Lalu aku akan terkenang dulu-dulu sewaktu aku sering berbasikal di situ. Aku lebih termenung. Sesekali aku mengeluarkan buku nota aku dan mencatitkan beberapa perkara yang aku perlu catitkan. Sahabat di sebelah aku juga tidak jemu-jemu memandang ke luar tingkap. Melihat pemandangan yang sukar sebenarnya untuk digambarkan dengan perkataan. Sesuatu keunikan yang ada di Japung. Sesuatu yang jarang ditemui. Perkampungan yang rata-rata kegiatan ekonomi berteraskan kepada pertanian, tetapi rumah-rumah cantik dan menarik 2 - 3 tingkat dengan halaman yang sungguh menarik. Tidak ada satu pun kelihatan halaman yang tidak punya taman pokok-pokok kecil berbentuk menarik bagai pokok-pokok bonsai. Sesekali melintasi rumah-rumah kampung yang punya kolam renang sendiri. Bukan perkara yang mudah ditemui jika di Tokyo yang serba mahal. Ini boleh kelihatan jelas kerana trek Shinkansen adalah trek yang tinggi. 30-40 kaki di atas tanah sepanjang-panjang perjalanan ini.

Shinkansen dua kali berhenti. Sekali di Ueno dan sekali di Omiya. Omiya, aku akan terkenang dengan restoran pusingnya di menara di bangunan Sogo. Sering aku ke situ dahulu bila punya kelapangan. Makan shushi atau tempura bersama XXXX, buah hati aku di Japung dulu......

Aku sebelumnya tidak pernah sampai ke Kumagaya. Walau ianya di prefecture (negeri, jajahan) yang sama, Saitama, aku tidak pernah sekali pun ke situ dahulu. Inilah pertama kali. Malah aku tidak pernah tahu pun yang Shinkansen berhenti di situ. Jika satu bandar punya hentian Shinkansen, itu sudah dikira bandar yang agak besar!!

Ingin juga melihat-lihat sekeliling, tetapi masa cukup tidak mengizinkan. Mesyuarat jam 10:30 pagi. Shinkansen sampai di Kumagaya Eki pada jam 10:13 pagi. Sudah tentu tidak berkesempatan. Dan petangnya, harus mengejar Shinkansen Max Tanigawa 444 pada jam 15:07 petang. Perjalanan dari eki untuk ke tempat mesyuarat juga memakan masa.

Ah.... sesampainya di bilik mesyuarat sudah dihadiahkan dengan suasana yang hangat. Aku membau sesuatu yang tidak menyenangkan. Perbincangan teknikal kebiasaanya begitu. Suasana mesyuarat sering menjadi hangat bila teknikal + bisnes disekalikan. Impak teknikal pada bisnes menjadi agenda utama. Begitu juga sebaliknya. Perbincangan teknikal berlarut hingga ke makan tengahari. Restoran yang indah berlatarkan taman hiasan yang cantik dikelilingi kolam Jepun dengan ikan kap dan leekoh berlegar-legar sudah tidak kelihatan menarik lagi bila kepala berpusing mencari penyelesaian kepada banyak persoalan.

Sengaja aku duduk bertentang dengan CEO kompeni yang sedang aku berurusan. Ingin menanyakan pelbagai-bagai terutama tentang teknikaliti dan hubung-kait setiap syarikat yang ada dalam mesyuarat tadi. Mensyuarat yang sepatutnya melibatkan tiga pihak, menjadi enam pihak. Dan makan tengahari itu, makanan lebih banyak merenung muka aku dari pada aku mengunyah mereka..... walau pelbagai hidangan kesukaan aku seperti sashimi ama-ebi, maguro juga unagi yang disalai.......