16 February 2006

10 Ekar Dusun dan 10 Sen

"So, apa komen engko?" tanya seorang rakan selepas perbincangan pendek tentang berita di dada akhbar. Rombakan kabinet!!

"Komen aku?" tanya aku balik.

"Ini bukan rombakan kabinet!!" kata aku lagi ringkas. Memang ini bukan rombakan pada aku. Ini hanya sedikit pertukaran akibat beberapa menteri meletakkan jawatan. Sesuatu yang aku harapkan tidak berlaku. Suatu bentuk refomasi yang aku harapkan juga tidak berlaku.

Apakah ini petanda malang untuk Malaysia? Aku masih belum mendapat bayangan jawabannya. Tapi yang nyata, banyak harta besar milik kita sudah jatuh ke tangan orang lain. Ada yang hanya bernilai 1 yu-ro!!!! Nanti akan banyak lagi milik kita yang akan terjual ke "seberang tambak"!!

Ibaratkan seorang petani yang berpenat-lelah mengerjakan belukar lalu menjadi dusun. Sedang petani tadi uzur di rumah, adiknya menjualkan dusun 10 ekar yang menanti untuk menuai hasilnya itu dengan nilai sepuluh sen kerana menganggap pembikinan dusun adalah satu pembaziran!!!! Walau hasilnya boleh di makan berpuluh tahun akan datang dengan nilai yang berlipat ganda.

Aku ingat Allahyarham Yai (panggilan aku untuk Datuk) aku dulu. Dalam usia di hujung-hujung kehidupan, pada akhir 70an, dia menanam pokok buah-buahan. Bila aku tanyakan padanya dulu, jawabnya ringkas;

"Kalau Yai tanam pokok ini nanti, bila musim buah senang anak-anak Has makan rambutan."

Satu jawaban yang penuh makna buat diri aku. Walau memang tahu tidak boleh menikmati hasilnya, tapi tetap tidak lupa 3 generasi berikutnya. Dan nyata, memang benar, anak-anak aku boleh menikmati rambutan, jambu, manggis dan sebagainya dengan percuma bila musimnya tiba!!!!

Dan aku berjanji pada diri aku sendiri, untuk mengusahakan tanah itu bagi 3 generasi berikutnya!!

15 February 2006

Big Fishing Game

"Kapan mahu ke sini lagi Pak?" kata seorang teman di negara seberang melalui Skype Chat aku.

"Boleh saya bawa ke tempat yang lebih bagus untuk mancing." kata dia lagi.

Aku membalasnya memang ada dalam perancangan. Sambil mengembangkan perniagaan ke sana. Tapi masanya belum sesuai lagi. Dan aku teringat satu peristiwa ketika aku ke Kota Jakarta dahulu. Perbincangan yang rancak tentang perniagaan dan juga santai dengan beberapa peniaga Malaysia di sana juga kenalan mereka dari rakyat tempatan.


"Di sini macam safari Pak Has. Kalau kita menembak di Safari, satu peluru sahaja, tidak kena pada kijang, peluru boleh mengena gajah...." katanya sambil berseloroh. Memang ada kebenarannya. Lalu aku teringat penyanyi kesukaann ramai Malaysia CT Norhaliza...... Jualan rakamannya di Malaysia yang tulen hanya mencecah 60 ribu untuk satu album, tapi di Indonesia, ianya mencecah setengah juta!!!!

"Cumanya kena faham. Di sini, ini dahulu!" katanya lagi sambil menepuk-nepuk perut. Aku faham benar. Perut nomor satu. Dari bawah sampai atas perut memang nomor satu. Tapi jumlahnya sedikit oleh semua lapisan. Dari bawah ke atas.

"Sama sahaja kalau pasal "perut" nih Has! Sapa kata orang Malaysia tak tengok "perut"? Sama sahaja. Cuma perut di sini di semua lapisan. Sedikit sudah memadai. Di negara kita (di baca Malaysia), satu level sahaja tapi perutnya besar." kata kawan aku yang sudah 3 tahun di seberang.


"Bagus juga kalau kita ke Lombok. Boleh uruskan untuk memancing di sana?" tanya aku pada sahabat aku di Bandung.

"Untuk Pak Has, boleh saja. Bukan Pak Has ada kenalan di sana?" balasnya. Memanglah aku punya kenalan di Lombok. Tapi manalah sesuai seorang lelaki yang saban hari mengajar agama dan sudah berumur 70 lebih untuk aku meminta membawa ke laut lepas yang bergelora menduga "Spanish Mackerel @ Scomberomorus Commerson" (dibaca tenggiri batang). Kalau untuk membawa aku memilik mutiara Lombok, mungkin itu adalah kepakaran dia!!

Tawaran Yuno, sahabat aku itu sukar untuk aku tolak. Maka kepala aku sudah berkira-kira untuk ke sana kembali. Fikiran aku membayangkan Ambassadeur BG9000 aku yang memang sudah lama aku tidak gunakan. Sudah mengira-ngira untuk menukar tali, membeli mata kail, dan peralatan lainnya. Memang sudah lama sungguh tidak keluar untuk "Big Fishing Game".

Aku membayangkan dalam buaian ombak Laut Flores, desiran angin di pantai pulau-pulau Gili dan sayup kelihatan di celah awan Gunung Rinjani!! Aku membayangkan menarik tengiri seberat 14 kilogram dengan tali 40 paun, membayangkan bertarung dengan pari 60kg dan merenjir kekili dengan air untuk menyejukkan akibat kekuatan tarikan Rhina Ancylostoma (di baca Yu Kemejan) di Selat Alas.

Membayangkan itu, tangan aku mula kemetar!!!!

13 February 2006

Jalan-jalan di Jalan Pasar

Kemarin aku jalan ke KL bersama rakan. Tujuan ke Jalan Pasar. Lihat Jalan Pasar yang kesibukan di tengahari itu mengingatkan aku pada kisah lalu di tahun 2000. Ketika menuliskan cadangan untuk RM Ke-8 dahulu. Tajuk "Meningkatkan Nilai Tambah Industri E&E di Malaysia". Satu daripada caranya dengan membaikpulih Jalan Pasar menjadikan dia seperti Akihabara di Jepun.

Harapkan dianya akan menjadikan medium pemasaran produk pintar buatan Malaysia yang berteraskan teknologi tinggi. Tidak bergantung kepada produk-produk dari China dan Korea sahaja.

Sayang, kelulusan sudah diberi. RM 500 juta peruntukan yang diminta sudah diluluskan. Hanya tiada yang merealisasikan!! Kalau tidak, mungkin boleh beli pembesar suara Ndekku di Jalan Pasar, dengan pelbagai versi pilihan dan membanjirinya. Mungkin juga boleh beli amplifier jenama Salam atau DIN di Jalan Pasar, bukan Coby dan Nikin yang kelihatan kemarin.

Aku lihat, Jalan Pasar masih seperti dahulu pada awal 90an di mana aku sering kesana sewaktu aku masih lagi seorang engineer.