10 February 2006

Menjelang 40

Hari Jumaat ini sebagaimana Jumaat-jumaat sebelumnya, jika tidak berjauhan dari Cyberjaya, ke Dengkillah aku bersolat Jumaat. Sampai agak awal dalam 12:30, isi perut dahulu di kedai bersebelahan masjid. Ambil nasi sedikit (kebiasaan memang ambil sedikit sahaja nasi) dengan sayur pucuk paku, sayur nangka muda, ikan masin. Memadai untuk tengahari ini. Kalau perut terlalu penuh, nanti tersengguk-sengguk pula masa khutbah Jumaat. Air pula, cukup secawan teh "o" limau panas. Orang kata teh ini korosif, tapi itulah yang aku sering minum untuk menghilangkan lemak badan yang menghasilkan berat badan 63 +/- 3 kg sejak tahun 1983 lagi. Itu sudah 23 tahun!!!!

Nak buat camana? Makanan kena sentiasa kawal. Kalau terlebih makan, banyakkan minum teh limau. Kalau tidak pun, balik rumah, minum teh hijau Jepun panas-panas. Daging merah dan seafood, memang aku jauhkan dua benda ini. Kalau tidak, membengkak lagi sendi-sendi kaki aku. Sebulan sekali pekena sup kambing tak apa!! Tak boleh selalu......

3 Februari lalu, umur mencecah 40 tahun. Terasa semakin muda!! Hehehehe...... Orang kata life begin at 40!! Rasulullah pun umur 40 dapat wahyu yang pertama. Habis aku, umur 40 camana? Hitung hari? Hari yang mana? Hari yang sudah terlepas atau hari yang akan mendatang?

Bila balik rumah, tenung wajah anak-anak. Ikuti perjalanan hidup anak-anak dan buat perbandingan perjalanan 40 tahun hidup aku. Kadang tersenyum. Kadang sedih. Sedih pada diri sendiri. Sedih kenangkan nasib anak-anak. Semua persekitaran yang berbeda. Melihat evolusi kehidupan ini, ianya sudah bukan seperti satu evolusi lagi. Ianya satu revolusi kehidupan. Revolusi pembangunan ilmu. Revolusi pembudayaan yang dulu kelihatan perlahan, tapi kini terasa pantasnya. Mungkin dulu aku remaja, kanak-kanak maka semua kelihatan perlahan. Belum tahu benar erti kehidupan dan motif dihidupkan. Kini semakin umur bergerak ke depan, semakin jiwa mendekati langit. Rambut yang kurang menjadi semakin jarang.

Kadang aku bercerita dengan anak aku kisah hidup aku di umur mereka. Kisah lalu untuk pengajaran mereka......

40 tahun, inilah permulaan hidup yang sebenarnya. Jika silap langkah di persimpangan ini, maka terus-terusanlah akan menyesat. Jika betul tujuannya, maka berterusanlah ianya akan betul. Di umur ini, aku sudah punya anak remaja. Suara pun sudah garau jika ketawa... hahahahahaha....... Kadang dia malu-malu bila aku ajuk cara ketawanya.

Di rumah, punya isteri dan anak-anak yang perlu dijadikan "manusia". Di pejabat, punya anak-anak buah bimbingan kerjaya dari pengurus ke jurutera yang perlu di bentuk kariernya. Dan itu semua untuk aku juga. Untuk aku, untuk Dia. Barjaya anak buah aku, berjayalah aku. Gagal dia, gagal jugalah aku (sudah agak lama tak bawa mereka makan-makan....).

Lama dulu, seorang bos aku ada kata; "Nak cepat berjaya, buat 30% kerja untuk boss kita, 20% untuk orang lain dan selebihnya 50% untuk buat kerja sendiri."

Dulu lagi aku sudah mengerti maksudnya. Kini di umur 40 tahun, aku lebih mengerti maksudnya. Dan semalam, aku sempat menelefon boss aku 15 tahun lalu...... Sudah menjadi seorang taukey yang berjaya!!!!


hasza
bandar siber
11 muharram

Tanpa Sedar

Sampai di rumah semalam, hari sudah malam. Sudah hampir jam 8 malam. Aku segera membersihkan diri dan mengadapNya. Kemudian aku duduk melayan anak-anak. Yang dua orang sedang di meja belajar mengulangkaji pelajaran. Yang kembar terus rapat kepada aku. Berebut-rebut untuk duduk diriba aku. Adiknya akn segera mengalah. Hanya duduk disebelah aku sambil badannya disandarkan kepadaku.

Mata aku mengecil ketika ti-vi-ti-ga menayangkan berita utamanya. Aku melayang.... tidak tahu apa yang disebutkan dan berita apa yang disiarkan. Sesekali aku sedar, sudah ada Anakin Skywalker di monitor ti-vi. Rupanya anak kembar aku memasang vi-si-di cerita Star Wars. Dan mata aku melayu lagi.... dan layu.......

"Tak makan ker?" satu suara kedengaran. Isteri aku mengangkat anak kembar si abang ke bilik. Meja belajar anak-anak aku sudah gelap. Si kembar adik terlelap di sebelah aku. Skrin ti-vi berwarna biru...... Aku lihat jam, sudah pukul 11:23 malam. Terasa lapar. Baru aku sedar sedari jam 10 pagi aku belum lagi makan apa-apa rupanya......

Tanpa sedar, aku kehilangan waktu keemasan aku untuk bermesra dengan anak-anak oleh kepenatan yang aku tidak boleh kawal.

09 February 2006

Melata di Dunia Chip Ilham Islami

Poket seluar aku bergetar tanda ada panggilan datang. Aku keluarkan. Ada nombor bermula 888 menandakan ada panggilan dari kawasan Putrajaya.

"Hello, En Has, hari itu ada bagi lima nama untuk test bukan? Esok datang ke JPN yer. Nak buat test card." kata suara di sana. Bla-bla-bla-bla..... perbualan bersambung dengan singkat.

Ah..... masa yang di tunggu sudah tiba. Ini masanya menunjukkan kita punya keupayaan juga dalam bidang teknologi tinggi melibatkan rekabentuk chip. Dah hari ini, aku bersama 4 orang lagi mendaftarkan diri untuk membuat MyKad baru bagi tujuan ujian chip yang direkabentuk mengikut acuan Islami. Dimulai dengan kalimah "Bismillah......"

Nanti, chip ini akan melata bukan hanya di bumi Malaysia, malah di bumi asing juga. InsyaAllah.

Pecah-pecah

Senja kelmarin, aku terima sms yang isinya ringkas dan agak ad-hoc.

"Salam, Tuan-tuan, mlm ini akan diadakan majlis solat hajat selepas solat isyak di dataran 2 . sila bawa sejadah kalau-kalau yang ada tidak mencukupi."

Datangnya dari setiausaha kumpulan penduduk.

Aku langsung menutup notebook aku dan bergegas pulang kerana waktu sudah senja. Sampai di rumah, segera membersihkan diri, solat Maghrib bersama anak-anak dan mengadap makan malam sebelum terus ke dataran 2.

Kadang terfikir, kalaulah tidak kerana kes-kes pecah rumah dan rompakan bersenjata yang kerap berlaku, tentunya keakraban kejiranan amat terlalu jauh jurangnya di perumahan banglo ini. Masing-masing dengan tugas dan prioriti masing-masing. Kadang aku terfikirkan, walau bala kejadian pecah-pecah rumah ini, memang Tuhan mengadakannya untuk satu rahmat yang kita tidak nampak. Keakraban rondaan malam begitu nyata sekali dirasa dan aku kenali hampir semua penduduk di kejiranan aku yang sejumlah sudah mencecah 68 rumah yang berpenghuni. Nomor ini tentunya akan bertambah, sedikit masa lagi....

Selepas solat Hajat, perbincangan lain menyusul sambil mulut mengunyah kacang goreng Mengelembu dan bihun sup ringkas di dataran yang berdindingkan angin dan beratapkan langit!!!!

07 February 2006

Karikatur Kontroversi

"Engko nak tengok katun kontroversi itu? Kalau nak, aku e-mailkan." suara seorang rakan.

"Kenapa? Perlu ke aku tengok gambar katun itu?" tanya aku balik.

"Kita marah kat orang siarkan di majalah dia orang, kita pulak menyebarkan lewat e-mail." kata aku balik.

Kita mengata orang lain tidak sensitif pada agama pegangan kita, sebaliknya kita menyebarkan sendiri sesuatu yang kita anggap menghina Islam dan Rasul Allah. Itu kesimpulan yang aku dapat pagi ini setelah semalam aku terima dua e-mail bertajuk "With Pic" dan pagi ini jam 7:36 pagi sewaktu membuka komputer aku, sudah ada 3 lagi e-mail yang sama di mailbox aku.

Aku hanya geleng kepala. Dan aku hantarkan e-mail balas ringkas, sebagaimana seorang rakan aku membalaskannya pada sahabatku yang lain;


STOP!!
I think there is no point in distributing/forwarding these photos to anybody. We are angry with the newspaper which published these photos but yet we are circulating the photo ourselves.

Let this photo circulation dies off by itself. But our fight to preserve our prophet's dignity must continue.