08 September 2005

Mancing Sampai Lenguh Sendi....

"Tak ada idea giler lagi?" tanya seorang sahabat pada satu petang.

"Ada.... cuma belum keluar lagi untuk di cakapkan. Nantilah... satu kejutan untuk korang." jawab aku. Bila berkata idea giler, macam-macam kita boleh fikirkan cumanya apakah ianya berkesan? Itu satu persoalan yang perlu ditimbangkan kanan-kiri-depan-belakang....

Selepas sesi bermain badminton malam berikutnya, aku seperti biasa bermuzakarah dengan ajk-ajk aku. Tantang progres pertandingan memancing, tentang banner, tentang kewangan, tentang kemasukan ikan, tentang ternakan ikan, tentang restoran dan pelbagai. Melalut kadang hingga berkait dengan masjid, kelas mengaji al-Quran, bolasepak, kompang dan sebagainya. Biasanya, aku akan bertanya dulu sebelum aku memberi update apa yang aku buat. Hari itu, sedikit kekecewaan. YB Dato' EXCO Belia Selangor yang aku temui di SUK Shah Alam, yang awalnya boleh hadir terpaksa menghantar wakil sahaja. Beliaau terpaksa hadir ke satu majlis mewakili Menteri Besar. Aku harus akur. Dan janjinya, untuk melakukan program bersama di Fifofo mengubat sedikit kekecewaan aku. Walau apa pun YB ADUN sebagai wakil sudah memadai. Ianya satu yang besar bagi sebuah pertubuhan belia peringkat cawangan.

"Apa kata kalau kita buat kerja giler sikit?" tanya aku cuba memancing respon.

"Giler camana?" tanya seorang.

"Kita buat Program Memancing Sampai Lenguh Sendi...." jawab aku ringkas. Masing-masing terdiam. Tidak faham maksud aku. Atau masih tidak dapat menangkap apa sebenarnya yang aku cakapkan.

"Macam ini..... Kita buat program mancing sepanjang mana yang pemancing larat dengan bayaran tetap. Tidak mengikut masa berapa jam dia mancing. Kita pilih satu malam. Kata dari pukul 7:00 mlm sampai 7:00 pagi dengan bayaran hanya RM30.00 sahaja." jelas aku.

"Dan untuk hari itu, kita bagi hamper untuk tangkapan terberat...." sambung aku lagi bila yang lain diam. Masih senyap. Ada wajah-wajah keliru. Ada wajah-wajah tidak pasti. Ada juga wajah yang selamba bagai tidak mengambil endah. Pada aku, itu stratergi pemasaran. Memang pada malam minggu ramai yang keluar memancing. Kadang mencecah melebihi seratus orang pada hujung minggu sahaja. Aku tidak melihat hanya pada pendapatan terus daripada yuran pancingan tapi juga dari Restoran Santai d'Fifofo yang baru sahaja dilancarkan pembukaannya, juga dari jualan umpan dan mata kail juga makanan ringan.

"Boleh jugak." kedengaran suara Rahmat. Perlahan. Rasanya dia sudah dapat menangkap sedikit maksud aku.

"Kita bukan rugi apa-apa pun. Lagi pun, orang yang mancing 4 jam, bayar RM 20 bukan datang balik pada hari yang sama. Ikan di kolam pun dimasukkan tetap setiap dua minggu.. Banyak yang sama. Tak ada pertambahan kos langsung." sambungnya yang memang aku tugaskan dia untuk sebagai pengawal kewangan, sama tugas bagai Menteri Kewangan.

"Aku ikut saja." suara lain pula.

"Tak diterima. Tak nak ikut saja. Samada positif atau negatif." jawab aku.

"Bila kita nak buat keputusan, kita kena firm. Kena betul dengan keputusan. Tidak nanti kalau terjadi apa-apa yang tak baik kemudiannya, menyalahkan orang lain. Kalau OK, sepakat semua dan pikul bersama. Baru boleh gerak jauh. Baru boleh ada Wisma Bekalimas dalam tempuh 5 tahun." kata aku.

"Boleh Has 25 September nih?" tanya Haf yang baru sampai. Dia pengurus Kelab Badminton. Akan mengadakan perlawanan persahabatan badminton dengan persatuan penduduk di Bandar Baru Bangi. Aku diperlukan untuk memberi sedikit ucap-tama dan pertukaran cenderahati. Dia juga meminta aku bermain untuk perlawanan itu.

"Aku main kalau pengerusi dia main. Kalau boleh usahakan jumpa regu pengerusi dia."
jawab aku.

"Sebagai perlawanan khas....... Aku pun dah lama tak main...." sambung aku lagi.

Dari satu topik ke satu topik. Semua berkait "bagaimana nak maju ke depan...." Daripada mancing sampai terseliuh siku, masuk bab badminton, kompang, mangga cukanan, burung unta dan biasiswa untuk anak-anak ahli yang berjaya cemerlang dalam UPSR yang baru selesai.

"Beh!! Kira!!" bersuara Zali pada Ronni, tukang masak yang di upah dari Narathiwat untuk menguruskan Restoran Santai d'Fifofo. Hari ini giliran Zali membayar minuman dan beberapa mangkuk sup tule....

www.geocities.com/bekalimas/kefifofo.html - ramai yang bertanya bagaimana ke Fifofo

06 September 2005

Tik-tok-tik-tok..... Masa Tidak Pernah Berhenti

Masa terlalu cepat berlalu. Tik-tok-tik-tok jam di dinding, jam di tangan kiriku, jam loceng di setiap bilik di rumahku, jam di notebook MIMOSku, jam di telerak Nokiaku, jam di pemain di-vi-diku, jam di dekoder astroku semuanya tidak berhenti dan terus-terusan berjalan sedetik demi sedetik. Pejam celik pejam celik, hari berganti hari, minggu berganti minggu dan tahun berganti tahun. Yang sibuk dengan kesibukannya. Yang santai, santai saban hari. Yang beringat, melakukan yang terbaik untuk masa depannya. Yang terlupa, akan sentiasa berhibur dan berpoya!!

Tanpa sedar, sudah tujuh bulan lebih Kolam Pancing Fifofo dibuka kepada awam. Sambutannya sangat tidak aku duga. Terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Petang selesai kerja, rutin aku singgah di Kolam Fifofo. Beberapa pemancing tegar sedang memancing. Saban hari. 3 orang bangsa Cina yang menjadi pemancing tetap setiap petang seselesai tugas di Putrajaya akan di situ.

"Aku dapat tarik sekor pun dah puas hati. Aku nak mancing, bukan nak ikan sangat. Ikan aku dapat suma bagi kat dia." kata seorang yang sangat aku kenali dengan petah Bahasa Melayu yang sangat baik. Percakapannya bagai orang Melayu. Intonasi dan lenggok bahasanya bagai orang Melayu. Seorang pemancing tegar yang punya syarikat besar membina Alamanda Putrajaya.

"Lawrence, minum dulu. Aku belanja." kata aku bila dia sedang berkemas-kemas untuk pulang. Tiga ekor rohu dibiarkan untuk Lim bawa pulang.

"Lain kali lah Has. Rumah aku jauh. Nanti balik lambat bini aku marah!!" jawabnya.

Seorang lagi pemancing naik dari kolam pancing utama Fifofo. Membawa bersamanya 9 ekor Labeo Rohita (rohu). Juga pemancing tegar dari bukit canggang. Pernah sekali berkongsi ilmu dengan aku. Cara-cara menyediakan "killer dedak" untuk menangkap rohu. Sebotol pewarna berperisa kuning telur, sepeket dedak ayam, sedikit tepung gandum dan sepeket kerisik kelapa. Campuran killer, katanya.

"Wak, dah ambik borang tuh?" tanya aku.

"Dah..... hari tuh lagi dah ambik." jawab dia.

"Cepat daftar Wak, nanti tak sempat..... Limit pemancing cuma 350 orang saja." kata aku. Ikut perkiraan ukur lilit kolam, memang Fifofo boleh memuatkan dalam 500 orang pemancing dalam satu-satu masa. Tapi aku dapat rasakan kesempitannya jika dipenuhkan 500 orang pemancing. Jadi, limit 350 orang untuk pertandingan rasanya sudah memadai.

Sibuk melihat persediaan, aku tanyakan banyak soalan pada yang menguruskan samada apa yang aku rancangkan sudah dilakukan. Tukang masak sudah bersedia. Tukang masak yang baru sampai sudah aku uji kehandalannya. Boleh tahan. Yang ini, bihun gorengnya menjadi kesukaan ramai.

Banner dan banting sudah sedia untuk di rentang dan digantung. Borang-borang pendaftaran sudah beredar... Poster sudah dilekatkan di kedai-kedai peralatan pancing. Hujung minggu ini, ada pertandingan memancing di Putrajaya dan minggu berikutnya di Cyberjaya. Itu medium yang baik untuk menyebarkan iklan dan brocure Pertandingan Memancing d'Fifofo. Aku masih menunggu jawaban dari EXCO Pembangunan Belia Selangor dan artikel di Joran, sisipan Berita Harian Jumaat tentang kolam pancing Fifofo. Pengarangnya sudah berjanji untuk dikeluarkan Jumaat minggu ini.

"Ini pertandingan pertama Belia 4B nak buat Kamal. Nanti kalau dah established, barulah kita buat yang besar. RM 2,000 hadiah pertama tuh kira OKlah sebab kita buat tanpa sponsor." kata aku padanya dalam perbualan telefon beberapa hari yang lalu.

Aku kini menantikan jam terus berdetik. Tik-tok-tik-tok.... menanti 25 September, 2005. Aku harapkan sambutan yang baik untuk pertandingan memancing yang julung kalinya diadakan di Fifofo.

Datanglah beramai-ramai bersama keluarga ke Pertandingan Memancing d'Fifofo pada 25 September, 2005 jam 8:00 pagi hingga 1:00 petang.

www.geocities.com/bekalimas
http://hasza.blogspot.com/